fbpx
Tren CR450 memiliki reka bentuk lebih aerodinamik berbanding model sebelumnya.

K2

China cipta tren terpantas dunia dengan kelajuan 450 km/j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI rel berkelajuan tinggi menjadi penanda kepada kemajuan teknologi kereta api awam bagi memberi kemudahan kepada masyarakat.

Kebanyakan negara telah menceburi industri rel berkelajuan tinggi terutamanya Jepun, Perancis dan China yang bersaing untuk menjadi peneraju.

Namun begitu, China terus menunjukkan kepemimpinannya dalam industri rel berkelajuan tinggi dengan pengenalan model terbaharu, CR450.

Kereta api itu diuar-uarkan sebagai yang terpantas di dunia dengan kecepatan operasi mencecah 400 kilometer sejam (km/j) dan kecepatan percubaan mencapai 450 km/j.

Menurut Eksekutif di Jabatan Lokomotif & Kereta Api China, Ren Guangqiang, CR450 merupakan versi lebih baik daripada model sebelumnya, CR400 yang memiliki kecepatan operasi 350 km/j.

“Keunggulan ini menandakan satu lagi batu loncatan baharu dalam inovasi kenderaan pengangkutan iaitu kereta api, sekali gus mengukuhkan dominasi China dalam pengembangan teknologi rel berkelajuan tinggi.

“Model terbaharu ini juga menunjukkan komitmen pihak kami untuk menyediakan perkhidmatan yang pelbagai dan diperibadikan bagi meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang,” katanya dalam satu temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini.

Berkongsi tentang latar belakang dan perkembangan CR450, model itu diperkenalkan di Beijing pada Disember tahun lalu.

Model tersebut merupakan kereta api dari Fuxing iaitu satu siri tren EMU berkelajuan tinggi dan pantas yang dikendalikan oleh China Railway High-speed (CRH).

Ia tersedia dalam dua varian utama iaitu CR450AF yang dikembangkan oleh CRRC Qingdao Sifang dan CR450BF yang diproduksi oleh CRRC Changchun Railway Vehicles.

“Kereta api ini dikembangkan dengan tujuan utama untuk meningkatkan efisiensi perjalanan, mempercepat waktu perjalanan antara wilayah serta menyediakan pengalaman lebih selesa dan moden bagi penumpang.

“Pemerintah China terus melabur dalam jaringan rel berkelajuan tinggi sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan infrastruktur yang lebih maju,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan penambahan CR450, China berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan udara untuk perjalanan domestik jarak sederhana.

Pada masa sama, CR450 mampu mengurangkan pelepasan gas karbon dengan menyediakan alternatif pengangkutan awam yang lebih mesra rakyat.

Kongsinya lagi, CR450 menawarkan pelbagai inovasi canggih yang menjadikannya sebagai kereta api terpantas di dunia.

Beberapa ciri yang menjadi daya tarikan utamanya adalah kelajuan luar biasa, rekaan lebih aerodinamik dan ringan.

CR450 memiliki ruang dalaman cukup elegan untuk keselesaan para penumpang.

Selain itu, CR450 memiliki sistem daya tarikan magnet kekal serta ruang dalaman yang moden dengan keselesaan maksimum kepada penumpang.

“Dengan kelajuan ujian 450 km/j dan kelajuan operasi 400 km/j, CR450 membolehkan perjalanan jauh menjadi lebih pantas berbanding dahulu.

“Sebagai contoh, perjalanan antara Beijing dan Shanghai yang biasanya mengambil masa kira-kira lima jam dengan CR400, kini boleh dipendekkan kepada sekitar 4.5 jam apabila menaiki CR450,” kongsinya.

Jelasnya lagi, CR450 memiliki badan yang lebih ringan daripada model sebelumnya kerana menggunakan bahan komposit termaju bagi meningkatkan kecekapan tenaga.

Reka bentuk aerodinamiknya juga mampu mengurangkan rintangan angin, membolehkan peningkatan kelajuan tanpa mengorbankan kestabilan dan keselesaan.

Salah satu penambahbaikan terbesar dalam CR450 adalah penggunaan sistem daya tarikan magnet kekal lebih cekap berbanding sistem daya tarikan konvensional.

Teknologi itu juga dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan memanjangkan hayat komponen elektrik pada tren.

“CR450 bukan sahaja pantas tetapi juga menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa.

“Bahagian dalamannya juga direka dengan susun atur moden, tempat duduk ergonomik, sistem pencahayaan boleh laras dan tingkap lebih besar untuk memberikan pengalaman visual luas kepada penumpang,” ujarnya.

Dengan ketibaan CR450, rangkaian kereta api berkelajuan tinggi China kini semakin diperkukuhkan. China sudah pun mempunyai rangkaian kereta api berkelajuan tinggi terpanjang di dunia dengan jarak lebih 40,000km yang menghubungkan bandar-bandar utama.

Kelajuan CR450 yang lebih tinggi membolehkan kecekapan perjalanan lebih baik, sekali gus menjadikannya pilihan utama para penumpang yang ingin melakukan perjalanan antara bandar.

Selain itu, kewujudan CR450 berpotensi mengurangkan kebergantungan orang ramai kepada pengangkutan udara untuk perjalanan jarak sederhana.

Dengan kelajuan hampir sepantas kapal terbang, keselesaan dan kebolehcapaian lebih baik, CR450 boleh menjadi alternatif utama bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan perniagaan atau pelancongan domestik.

Sementara itu, pemerintah China telah menetapkan sasaran tinggi untuk terus mengembangkan dan menaik taraf rangkaian kereta api berkelajuan tinggi.

Ujar Guangqiang lagi, dengan perkembangan teknologi rel dan sistem pengangkutan yang semakin cekap, maka tidak mustahil kelajuan operasi kereta api boleh terus meningkat pada masa hadapan.

Di samping itu, kejayaan CR450 boleh menjadi langkah pertama bagi China untuk mengeksport teknologi kereta api berkelajuan tinggi mereka ke negara lain.

China telah memberi sumbangan besar kepada projek kereta api berkelajuan tinggi di pelbagai negara seperti Indonesia dengan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung serta di Eropah dan Afrika.

“Pada masa hadapan, kita boleh mengharapkan lebih banyak inovasi dan pembangunan dalam industri kereta api bagi memudahkan lagi mobiliti global,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN