fbpx
Sungai Pahang mempunyai ikan patin yang bermutu tinggi.

Tutup kedai jika stok patin Temerloh tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Rata-rata peniaga di daerah ini mengakui dapat membezakan antara ikan patin Temerloh dengan ikan patin yang dibawa dari luar oleh pihak-pihak tertentu.

Abdullah Abdul Rashid, 61, berkata, dia juga tidak sesekali akan menjual ikan patin dari luar semata-mata untuk men­dapat keuntungan demi menjaga ke­aslian dan kelazatan sebenar ikan keluaran Temerloh.

Dia yang dikenali sebagai Pak Lah dan berniaga di Kampung Pansenam di sini berkata, isu kekurangan ikan patin Temerloh sememangnya berlaku kerana ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

“Saya akan tutup kedai jika stok patin Temerloh tiada, sudah banyak kali kedai saya ditutup.

“Semua itu saya lakukan demi menjaga nama baik patin Temerloh yang mempunyai kualiti ke­rana diternak di Sungai Pahang,” katanya.

Beliau berkata, dia tetap bersyukur kerana gerainya sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menjadi ikan patin Temerloh yang asli.

“Alhamdulillah, gerai jualan patin kami mendapat sambutan dan kepercayaan pelanggan yang datang untuk mencari ikan patin.

“Mereka juga faham kalau kedai tutup, itu bermakna tiada patin Temerloh.

“Saya berasa kecewa jika ada yang sanggup menjual patin luar kerana ia akan memberi kesan kepada industri patin Temerloh yang terkenal di seluruh negara,” katanya yang merupakan antara individu terawal menjual patin Temerloh segar di jalan Temerloh-­Bera di sini.

Katanya, apa yang pen­ting adalah kepuasan pelanggan yang membeli di gerainya dan juga survival industri patin ­Temerloh dalam jangka masa yang panjang.

“Saya juga ada menternak ikan sangkar yang akan diperbanyakkan lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan mencukupi selain stok yang diborong daripada rakan-rakan penternak di Sungai Pahang,”katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Restoran Patin Claypot Temerloh, Nurazira Zainudin, 34, ber­kata, dia sentiasa memastikan patin yang dijual di restorannya adalah patin tulen Temerloh bagi memastikan kualiti dan jenama Temerloh sentiasa terjaga.

Katanya, meskipun mengakui permintaan patin Temerloh me­lebihi penawaran, dia telah mempunyai pembekal tetap yang memberi keutamaan kepada­nya untuk mendapatkan patin ­Temerloh agar perniagaannya tidak terganggu.

“Kami akan pastikan patin original Sungai Pahang sahaja yang dibekalkan oleh pembekal tetap dan setakat ini tiada masalah dan tiada isu patin luar yang kami terima,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN