SELANGOR Fruit Valley (SFV) di Rawang, Selangor menjadi pilihan destinasi percutian ekopelancongan buat mereka yang menginginkan suasana pemandangan hijau bagi mententeramkan jiwa.
Tempat tarikan yang terletak di antara dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor itu merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Memiliki keluasan 946 hektar (2,338 ekar), SFV memfokuskan aktiviti perniagaan dan penyelidikan melibatkan ladang buah-buahan, pembangunan tisu kultur dan pembangunan usahawan tani.
Unit ladang SFV juga merangkumi pengeluaran hasil tanaman melibatkan lebih 15 jenis buah-buahan dan 10 jenis sayuran.
Antara tanaman yang ada adalah durian, kelapa pandan, kelapa matag, nangka, nangchem, jambu batu lohan, nanas, belimbing, ciku, rambutan dan durian belanda.
Sementara itu, tanaman hijau yang ada adalah kangkung, terung, bayam, sawi dan kacang panjang.
Terdapat juga tanaman lain seperti bawang, timun, halia, tomato, bunga kantan dan banyak lagi.
SFV juga dikenali sebagai sebuah pusat agropelancongan utama di Selangor yang menawarkan lebih 20 aktiviti menarik.
Misalnya, menaiki trem ke ladang, memancing dan memberi makan haiwan seperti rusa, arnab dan itik.

Pengunjung juga boleh meninjau sendiri pemprosesan telur masin.
Aktiviti tersebut pastinya memberi pengalaman yang menyeronokkan terutamanya buat kanak-kanak.
Untuk makluman, SFV telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan menerusi Anugerah Platinum Best Agro Destination 2021.
Bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, SFV turut memainkan peranan penting dalam sektor penyelidikan dengan membangunkan makmal tisu kultur.
Makmal itu memberi fokus kepada penyelidikan dan pengeluaran benih tisu kultur berkualiti tinggi yang melibatkan tanaman ‘mewah’ seperti vanila dan pisang.
SFV turut membangunkan program usahawan tani bagi membimbing dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Selain itu, pengunjung berpeluang melawat ke kawasan tanaman mini herba dan jambatan eko.
Pengunjung juga berpeluang melawat taman haiwan yang menempatkan binatang seperti rusa, arnab, itik dan ikan.
Pengunjung turut boleh melawat ke rumah kampung yang mempunyai seni bina tradisional sambil menikmati buah potong.

Menurut Penolong Pengurus Kanan SFV, Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid, pelbagai tarikan baharu turut diketengahkan untuk menambat hati pengunjung.
Antaranya, beberapa lokasi menarik untuk bergambar, aktiviti permainan tradisional, aktiviti air dan memanah.
“Kemudahan tram yang disediakan juga memudahkan pengunjung menikmati suasana ladang secara santai dengan masa perjalanan sekitar dua jam.
“Kemudahan fasiliti seperti tandas, surau, restoran dan gerai jualan makanan dan minuman turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.
“Menariknya, pengunjung boleh menikmati hasil tanaman dan pengalaman makan di ladang,” katanya kepada CitaRasa.
Secara purata, jumlah pelancong setiap tahun dianggarkan seramai 13,000 orang sementara jumlah purata pengunjung tahunan pula kira-kira 150,000 orang.
Bagi menarik perhatian pengunjung, SFV merancang untuk mewujudkan pakej berkelah dalam ladang yang kini menjadi trend.
Di samping itu, SFV menawarkan aktiviti sukan ekstrem seperti flying fox, panjat dinding (wall climbing) dan tightrope walking untuk menarik minat golongan belia.
Pusat agropelancongan yang mempunyai tujuh titik semak (checkpoint) tersebut menawarkan harga tiket cukup berpatutan kepada pelawat.
Terdapat dua jenis pakej ditawarkan untuk warga tempatan bermula pada harga serendah RM15 hingga RM24.
Sementara itu, bagi pelancong antarabangsa, pakej dijual pada harga RM40 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak dan warga emas).














