fbpx
SATELIT berteknologi tinggi biasanya diletakkan di orbit rendah Bumi. – Gambar hiasan

UzmaSAT-1 bukti negara serius dalam teknologi angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELANCARAN satelit UzmaSat-1 oleh Uzma Berhad pada pertengahan Januari lalu membuktikan Malaysia optimis dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) seiring dengan negara maju lain.

Satelit penderiaan jauh pertama itu juga mencerminkan negara mampu berdaya saing dalam perkembangan teknologi angkasa selari dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Uzma Berhad, Datuk Seri Zurainah Musa melahirkan rasa bangga dengan pencapaian itu yang dianggap mampu meletakkan nama negara di peta teknologi serantau.

“Sekiranya Malaysia tidak melakukan tindakan sama (melancarkan satelit), bagaimana kita hendak menarik minat pelabur luar untuk melakukan pelaburan FDI (pelaburan langsung asing).

“Perkembangan dunia digital AI ini juga dapat membantu negara menjana ekonomi. Disebabkan itu, bidang satelit dan AI ini perlu berada pada tahap luar biasa berbanding negara lain,” katanya kepada K-Tekno.

Satelit UzmaSAT-1 yang dilancarkan pada pukul 3.09 pagi (waktu Malaysia) di Pangkalan Angkasa Vandenberg, California, Amerika Syarikat menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX itu juga dijangka dapat membantu mengesan kawasan yang berisiko banjir, tanah runtuh atau lubang benam.

“Bukan sahaja mampu mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan akan terjejas akibat bencana alam. Malah, satelit ini juga dapat mengetahui kawasan yang berpotensi untuk dijadikan tempat tanaman mengikut kesesuaian tanah.

“Satelit ini juga dapat membantu negara untuk mengetahui kawasan lubang benam sama ada di bandar atau luar bandar.

SATELIT UzmaSAT-1 dilancarkan ke angkasa di California, AS baru-baru ini.

“Cara ini dapat mengekalkan keselamatan masyarakat dan binaan, sekali gus mengelakkan berlaku kehilangan nyawa,” katanya.

Ditanya tentang kesedaran mengenai fungsi satelit, Zurainah tidak menafikan masih ada warga tempatan yang kurang cakna tentang hala tuju perkembangan teknologi angkasa.

“Itu tugas Kementerian Komunikasi dan Digital untuk mendidik masyarakat tentang kesedaran pelbagai fungsi satelit tidak mengira sama ada komunikasi, keselamatan mahupun sekuriti.

“Saya menyeru kerajaan turun padang untuk mendidik rakyat agar tidak ketinggalan mengenai info peralihan teknologi yang semakin pesat membangun.

“Kita tidak mahu ada antara mereka yang ketinggalan menikmati pembangunan negara termasuk teknologi digital,” ujarnya.

Satelit berteknologi tinggi itu diletakkan di orbit rendah Bumi pada ketinggian 500 kilometer dengan dilengkapi sensor multi-spectral band seperti RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah bagi membolehkan data imej terperinci diperoleh.

Pada masa sama, satelit tersebut boleh digunakan bagi membantu syarikat-syarikat perladangan sawit memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan (Sustainability Palm Oil Certification) yang mampu meningkatkan premium penjualan sawit.

Sementara itu, memetik laman info angkasa, N2YO.com, di negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan keempat dengan memiliki sembilan buah satelit di orbit berbanding Indonesia (19), Singapura (17), Thailand (12), manakala Vietnam (3), Filipina (2) dan Laos (1).

Lima negara yang berada pada kedudukan teratas pula ialah Amerika Syarikat dengan 8,913 satelit, negara ahli Komanwel (1,557), Britain (661), China (804) dan Jepun (206).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN