LANGKAWI – Tiga nelayan dilaporkan hilang selepas bertolak dari Jeti Kuala Kedah, Alor Setar dekat sini ke Jeti Kuala Kurau, Perak sejak seminggu lalu.
Mereka ialah tekong warga Thailand, Aree Tomyang atau Ali serta dua kru warga tempatan dikenali sebagai Rosli Hassan, 49, dan Zamri Harun, 37.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan kehilangan vesel nelayan tempatan yang dilaporkan pemilik vesel, Rama Nair pada 30 Januari lepas.
Katanya, vesel tersebut dimaklumkan bertolak dari Jeti Kuala Kedah menuju ke Jeti Kuala Kurau pada pukul 11.30 malam, 26 Januari lalu.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini tekong serta kru vesel berkenaan gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, MRSC Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) sejurus menerima laporan itu.
“Operasi meliputi kawasan pencarian sekitar 1,218.9 batu nautika persegi yang merangkumi perairan Kuala Kedah sehingga ke Kuala Kurau.
“Misi pencarian kru serta vesel ini melibatkan tiga aset di laut dan sebuah pesawat udara milik APMM selain dibantu dua aset daripada agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin,” ujarnya.
Tambahnya, pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah dan Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau sebagai pusat operasi.
Orang ramai khususnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi talian operasi 24 jam MRSC Langkawi di talian 04-9662750. – KOSMO! ONLINE














