fbpx
HASIL mengikuti pengajian SKM dalam bidang jahitan, Amir Na’im kini membuka bisnes pakaian sendiri.

K2

Bina bisnes pakaian dengan kemahiran jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT yang mendalam tentang fesyen telah mendorong Muhammad Amir Na’im Bin Abd Malik, 27, memilih untuk mendalami dengan lebih mendalam bidang itu.

Dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Jahitan Pakaian Lelaki Tahap 3 di Institut Kemahiran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Menurut, Amir Na’im selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B) terlebih dahulu.

“Tetapi minat saya lebih kepada fesyen dan pada umur 20 tahun saya mengambil keputusan untuk mengikuti SKM dalam bidang jahitan pakaian lelaki untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang dunia fesyen.

“Saya belajar mengenali jenis fabrik sehinggalah cara pembuatan sesuatu pakaian.

“Tempoh pengajian saya hanya dua tahun dan saya juga belajar cara mengambil ukuran badan, memotong kain hinggalah cara menjahit pakaian,” kata Amir Na’im.

Tambahnya, antara jenis pakaian yang dia pelajari untuk dihasilkan termasuk baju Melayu, baju korporat, baju pengantin dan lain-lain lagi.

Setelah tamat pengajian, Amir Na’im bekerja dengan orang dahulu untuk mencari pengalaman.

Dia bekerja selama dua tahun untuk mempelajari cara untuk menguruskan kedai jahit.

Selepas itu barulah dia mengambil keputusan untuk membuka kedai jahit sendiri yang dikenali sebagai Tukang Rework dan beroperasi di Kuala Kangsar, Perak.

“Keluarga saya sangat memberi sokongan dan dorongan untuk saya memilih mendalami bidang kemahiran disebabkan saya minat terhadap dunia fesyen.

“Malah, keluarga juga yang mendorong saya untuk membuka kedai jahit dan kami menawarkan perkhidmatan tempahan baju Melayu, tengkolok, songkok, membaiki pakaian dan kami ada jugak menjual pakaian ‘readymade’ daripada jenama kami sendiri,” jelas Amir Na’im.

PEMUDA ini juga mahir menghasilkan tengkolok.

Ujarnya lagi, dia langsung tidak merasa menyesal untuk mendalami bidang kemahiran.

Berbicara dari sudut pandang seseorang yang mendalami bidang kemahiran, dia merasakan banyak orang yang memilih untuk mempelajari kemahiran seperti jahitan akan melihatnya sebagai keputusan yang sangat berbaloi.

“Bagi mereka yang suka bekerja dengan tangan, kreatif dan menghargai seni, bidang jahitan sering kali dianggap sebagai pilihan yang tepat. 

“Ia bukan sahaja memberi peluang untuk mengekspresikan diri melalui rekaan, tetapi juga membolehkan seseorang untuk mencipta produk yang memberi kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain.

“Sesetengah orang mungkin merasakan ia adalah kerjaya yang memberi kestabilan dan kebebasan kerana ada peluang untuk bekerja sendiri atau membina perniagaan kecil,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perancangan masa depannya, Amir Na’im berkata, dia akan fokus untuk meningkatkan kemahiran teknikal, mengembangkan reka bentuk pakaian yang lebih kreatif dan memperluas rangkaian pelanggan. 

Menurutnya, dia berhasrat untuk mengambil kursus tambahan untuk mempelajari teknik jahitan yang lebih kompleks atau memperdalam pengetahuan dalam fabrik dan bahan tertentu. 

“Ini akan membantu menghasilkan pakaian yang lebih berkualiti dan memenuhi keperluan pelanggan.

“Selain itu saya juga ingin mengembangkan jenama sendiri dengan menghasilkan reka bentuk pakaian yang unik, menguatkan pemasaran melalui media sosial dan ingin bekerja dengan pempengaruh fesyen atau pereka lain yang terkenal,” jelas Amir Na’im.

Katanya, dia juga ingin menambah nilai pada perniagaan dengan memberikan tumpuan pada bahan fabrik yang mesra alam atau mencipta pakaian yang tahan lama. 

Ini kerana ia semakin popular dalam kalangan pelanggan yang kini lebih prihatin terhadap isu alam sekitar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN