SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas melecur di belakang badan dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan di Kampung Lahar Ikan Mati, Kepala Batas di sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.11 pagi dan operasi memadam dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dan dibantu BBP Bertam serta Tasek Gelugor.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati api merebak hampir seluruh bengkel. Seorang lelaki berusia 64 tahun dipercayai berada di kawasan bengkel ketika kejadian melecur di belakang badan.
“Mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kira-kira 80 peratus premis itu musnah dijilat api termasuk beberapa buah kenderaan di dalam bengkel. Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -KOSMO! ONLINE














