Setiap hari ada sahaja kes penipuan dilaporkan di media sosial. Nilai kerugian pula bukan sedikit, ratusan ribu ringgit, malah ada mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah jutaan ringgit.
Individu yang terperdaya ini rata-ratanya pesara yang mempunyai wang yang banyak dalam simpanan. Mereka juga daripada golongan professional.
Ada dua faktor, sama ada wang dimiliki lebur kerana keinginan mahu menambah kekayaan atau ditipu scammer berhubung kegiatan jenayah membabitkan mangsa.
Sungguh siapa yang tidak mahu duit ‘beranak’ dalam bank, malah tidak pula perlu bersusah payah. Namun kesenangan tidak datang bergolek.
Seorang pesara rugi RM9.5 juta selepas terperdaya dengan pelaburan menjanjikan keuntungan 50 kali ganda. Satu pulangan yang mampu membuatkan setiap orang ‘gelap mata’.
Jurutera berusia 63 tahun itu tertarik dengan pelaburan kripto yang dilihat di Facebook. Ingatkan dapat menggandakan wang simpanan, namun lain pula yang jadi.
Yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Duit RM9.5 juta sudah lesap.
Minggu lalu seorang bekas pengurus syarikat swasta kerugian RM2 juta juga kerana pelaburan kripto yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Pelan pelaburan itu menjanjikan keuntungan 30 hingga 70 peratus. Mangsa disogokkan dengan keuntungan sebanyak RM46 juta.
Melihat kepada pulangan, sesiapa sahaja pasti tertarik, keuntungan besar yang dijanjikan, namun semua itu perangkap.
Ada yang berhati-hati, namun terjebak juga saat duit jadi taruhan. Ingatkan mahu mencuba mana tahu untung berganda akhirnya duit yang disimpan bertahun-tahun lebur dengan pujuk rayu scammer.
Pulangan tinggi dalam masa singkat, janganlah percaya, ia mustahil kerana orang kaya juga perlu masa bertahun untuk bina kekayaan secara jujur. Kita pula baru dua bulan melabur berangan mahu dapat pulangan jutaan ringgit.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan nilai kerugian membabitkan jenayah komersial di seluruh negara mencecah RM3.11 billion sepanjang tahun lalu.
Jumlah yang begitu besar ini menunjukkan masih ramai bersikap tidak peduli dengan peringatan dan maklumat yang sering disampaikan pihak berkuasa melalui saluran media.
Sudah 2025, masa untuk kita berubah. Kerana sikap tamak dan sentiasa mahu lebih kita hilang segalanya. Carilah pelaburan yang betul.
Scammer makin kaya, kita pula merenung nasib yang kelam.














