ENTAH di mana letaknya nilai perikemanusiaan sehingga sanggup membuli sama ada mengeluarkan kata-kata cacian dan hinaan ataupun melakukan kekerasan fizikal ke atas orang lain yang dianggap lemah.
Tanpa disedari, perbuatan tersebut akan meninggalkan luka yang amat dalam kepada mangsa dan boleh membawa kepada gangguan mental sekiranya tidak ditangani.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan misteri siri kebakaran sembilan buah rumah di Baling, Kedah dan suspek berusia 23 tahun sudah diberkas polis pada 20 Januari lalu.
Punca pemuda tersebut bertindak sedemikian didakwa angkara dendam akibat dibuli di tempat kerja. Lebih memilukan pemuda lembam itu juga mempunyai sejarah buli sejak di sekolah.
Perkara itu diceritakan oleh ibu suspek berusia 50 tahun yang memberitahu, anaknya sering menjadi mangsa buli sejak di sekolah rendah sehinggalah di alam pekerjaan.
“Suatu ketika, dia pulang dengan mulut berdarah memaklumkan rakan sekerjanya memasukkan getah sekerap ke dalam mulutnya sehingga mengalami luka.
“Akhirnya, dia berhenti kerja, tetapi masih dibuli bekas rakan sekerja yang masih berhubung dengannya sehingga kemurungan,” katanya.
Peristiwa yang menimpa pemuda itu adalah secebis kisah yang menceritakan betapa kejamnya manusia yang sanggup membuli manusia lain sehingga meninggalkan trauma.
Sehubungan itu, perbuatan buli tidak boleh dipandang remeh dan sejak kecil anak-anak harus dididik mengenai isu buli supaya tidak menjadi pembuli mahupun mangsa.
Sudah banyak kes-kes buli dilaporkan dan sehingga kini ia masih berlaku.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi, buli adalah perbuatan keganasan yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara fizikal atau kata-kata.
“Harus diingat buli secara lisan adalah lebih tajam daripada pisau kerana menusuk masuk ke dalam jiwa dan tertanam di otak apatah lagi jika berlaku berterusan sejak kecil.
“Mungkin kita menganggap ejekan atau hinaan seperti gemuk yang dilontarkan oleh kanak-kanak adalah perkara biasa kerana mereka kurang matang, tetapi sebagai orang dewasa kita perlu menegur perbuatan tersebut.
“Buli yang berterusan sama ada secara kata-kata atau kekerasan fizikal boleh mengganggu kesihatan mental seseorang sehingga dia bertindak di luar kawalan,” katanya.
Kata beliau, dengan adanya sambungan internet, ia juga membuka ruang lebih luas kepada perbuatan buli untuk melakukan tindakan tidak bermoral itu tanpa batasan.
Sehubungan itu, Zaireeni meminta pihak kerajaan, sekolah, majikan dan masyarakat untuk bersama-sama membanteras buli secara berterusan, bukannya bermusim.
Katanya, majikan perlu mengambil tindakan tegas kepada pembuli dan menyediakan sistem sokongan di tempat kerja bagi membantu mangsa menangani trauma yang dialaminya.
“Keadaan sama perlu dilakukan di sekolah. Sokongan padu daripada pelbagai pihak sangat penting bagi membanteras isu buli supaya ia tidak dinormalisasikan dalam masyarakat,” katanya.














