STATISTIK menunjukkan bahawa kesihatan mental remaja di Malaysia merupakan salah satu isu yang memerlukan perhatian segera.
Hasil dapatan menunjukkan, satu daripada tujuh remaja mengalami masalah kesihatan mental dan kadar tersebut semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda.
Kenyataan tersebut berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 dan National Health and Morbidity Survey pada 2017 dan 2019.
Masalah seperti kemurungan, keresahan dan tekanan kini menjadi cabaran utama yang memerlukan pendekatan pencegahan serta sokongan efektif.
Sehubungan itu, Kelab Remaja Isma (KRIM) cawangan Kajang dan Pusat Komuniti Anak Watan (Puskaw) bekerjasama dengan I-Medik untuk menganjurkan Konvensyen Remaja Muslim (KRM).
Konvensyen edisi kedua itu telah berlangsung di Anjung Digital, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor baru-baru ini.
Menurut Pengarah Program KRM 2025, Norazlin Mohd Salleh, KRM merupakan salah satu inisiatif yang lahir daripada keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu-isu kritikal dihadapi oleh remaja masa kini.
“Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran tentang literasi kesihatan mental, malah membimbing remaja menjadi individu yang seimbang dari sudut emosi, sosial dan spiritual.
“Kita sedar bahawa pendekatan hari ini harus selari dengan cabaran zaman. Jadi, remaja kita perlu diperkasakan untuk menjadi generasi yang resilient (berdaya tahan), cemerlang dan berakhlak mulia,” katanya pada K-Remaja.
Untuk rekod, seramai 150 peserta dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 18 tahun hadir pada majlis yang berlangsung selama 10 jam itu.

Antara penceramah terlibat ialah kaunselor berdaftar dan selebriti, Fadzli Aziz; Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr.
Rozanizam Zakaria serta jurulatih profesional, Badrul Sani.
Tajuk perbincangan pada hari itu meliputi, Peluang untuk Tumbuh dan Bangkit: Memahami Cabaran Hidup Remaja Muslim; Remaja Resilient, Pengurusan Stres dan Emosi
Remaja serta Remaja Healing: Transformasi Jati Diri Remaja Muslim.
Selain itu, terdapat forum bertajuk Dari Trauma ke Resilience: Kisah Bangkit dan Tumbuh Survivor Kesihatan Mental yang menampilkan barisan panel hebat.
Antaranya, pakar psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Azmir Shaari serta dua jemputan khas, Ummi Kalsom Mohamad Khalid dan Nor Syamimi Musa.
Program tersebut dijangka dianjurkan sekali lagi pada pertengahan tahun ini sebagai kesinambungan usaha yang konsisten dalam menyediakan sokongan kesihatan mental untuk remaja.
Dalam pada itu, salah seorang panel, Nor Syamimi Musa berkata, kerisauannya berkenaan penerimaan remaja terhadap topik kesihatan mental meleset apabila rata-rata peserta tidak kekok membincangkan isu tersebut.
Ujarnya, perkara itu mungkin berlaku kerana mereka sudah terdedah dengan banyak maklumat, sekali gus tidak menjadikan topik kesihatan mental sebagai satu stigma.
“Nampaknya generasi Z dan alpha ini lebih terbuka hendak bercakap tentang penyakit mental. Malah, ada beberapa yang tanya soalan mengaku telah didiagnos.
“Semoga ada antara mereka yang terinspirasi untuk jadi pakar psikiatri, psikologis, ahli terapi atau agamawan yang memahami pesakit mental,” katanya.
















