fbpx
Aplikasi Smart Ehsan Onion membantu memudahkan proses tanaman bawang oleh PKPS di Selangor Fruit Valley, Batang Berjuntai.

Urus ladang bawang di hujung jari, kurangkan tenaga kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEIRING peredaran masa, perkembangan teknologi digital juga mempamerkan kemajuan apabila berjaya membantu manusia menyerlahkan kreativiti dan memberikan kemudahan dalam menyelesaikan masalah.

Menerusi inovasi yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), aplikasi Smart Ehsan Onion telah berjaya memberikan penjimatan tenaga kerja di ladang sekitar 50 peratus.

Aplikasi tersebut digunakan untuk pertanian fertigasi dalam projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley, Batang Berjuntai, Selangor.

Menariknya, aplikasi berkenaan menggunakan sistem IOT (Internet of Things) yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penanaman bawang, malah untuk tanaman lain.

Menurut Penolong Pengurus Projek PKPS Hilal Azri Rosman, aplikasi Smart Ehsan Onion dapat membantu menentukan ketetapan bagi proses penyiraman dan pembajaan bagi kawasan seluas 25 ekar (10 hektar).

“Aplikasi ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis tanaman yang melibatkan fertigasi iaitu kaedah pemberian baja melalui sistem pengairan (penyiraman).

“Sistem ini juga dapat membantu pekerja membuat pemantauan secara automatik, pengoptimuman pembajaan, pengurusan nutrien, kecekapan kos dan sumber serta peningkatan kualiti hasil.

“Menerusi aplikasi ini, ketetapan masa penyiraman air hanya dibuat pada waktu-waktu tertentu sahaja.

“Selalunya, penyiraman 15 minit per ekar, sementara pembajaan lima hari sekali,” katanya kepada K-Tekno.

Kewujudan aplikasi tersebut memberi peluang kepada pekerja ladang untuk memberi fokus kepada kerja-kerja lain berbanding penyiraman dan pembajaan.

Kata Hilal Azri, kebanyakan petani melakukan kedua-dua tugas berkenaan secara manual iaitu dengan menghidupkan pam air dan sebagainya.

“Ia berbeza sama sekali dengan sistem automatik Smart Ehsan Onion yang menggunakan perisian komputer.

“Sebelum ini, kita menggunakan tenaga manusia untuk melakukan tugas-tugas di ladang. Para pekerja ini kadangkala melibatkan emosi ketika bekerja.

“Pada hari tahap kesihatan atau mood pekerja baik, mereka akan memberikan komitmen 100 peratus kepada kerja. Sekiranya mereka tiada mood, pokok-pokok ini pasti akan terjejas,” ujarnya.

PENGURUSAN ladang bawang menjadi lebih sistematik dengan penggunaan teknologi IoT. – Syakir Radin

PENGGUNAAN teknologi dalam pertanian, bukanlah bertujuan menafikan kesungguhan tenaga kerja manusia. Sebaliknya, penggunaan aplikasi seperti Smart Ehsan Onion hanya bersifat pemantauan automatik bagi mengoptimumkan pembajaan secara sekata, sekali gus meningkatkan kualiti hasil tanaman.

Dikuasakan dengan perisian android, Smart Ehsan Onion hanya boleh digunakan pada telefon dan tidak disediakan dalam versi desktop.

Justeru, aplikasi tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja selagi terhubung dengan talian internet.

Bercerita lanjut tentang aplikasi itu, Hilal Azri berkata, kemampuan IOT membolehkan fungsi Smart Ehsan Onion dipelbagaikan, selain daripada urusan fertigasi.

Katanya, aplikasi itu juga mampu melakukan pembersihan air atau backwash secara automatik dan menguruskan rumah pam secara sistematik.

“Backwash merupakan proses pembersihan semula air tadahan agar bebas daripada benda asing seperti pasir dan batuan kecil.

“Bagi tapak tanaman yang terletak di kawasan cerun atau dalam hutan, petani sukar untuk mendapatkan bekalan air, melainkan menggunakan air daripada sumber tadahan.

“Jadi, tidak semua kawasan ladang atau estet mempunyai sumber air bersih daripada syarikat air.

“Jadi, apabila kita mendapat air daripada sumber semula jadi (tadahan), kandungannya berkemungkinan mempunyai campuran pasir halus dan batuan kecil.

“Disebabkan itu, kita menggunakan sistem penapisan bagi membantu menapis air agar bebas daripada kotoran terutamanya kewujudan benda asing,” ujarnya.

Selain itu, sistem Smart Ehsan Onion akan membantu rumah pam menyekat kemasukan air ke bahagian penyiraman dalam masa dua minit.

Kemudian, dalam tempoh masa satu minit, air yang tercemar akan dimasukkan semula ke dalam kolam.

“Bermula dengan menapis pasir, kemudian air ini akan ke bahagian penapisan batu dan seterusnya kepada tanaman.

“Aplikasi ini membolehkan urusan ketetapan dibuat secara automatik tanpa memerlukan ramai tenaga kerja.

“Aplikasi ini sangat menarik kerana membantu kami mengurangkan kos penyelenggaraan kerana boleh dibuat secara berkala.

“Penyelenggaraan akan dibuat dalam tempoh dua bulan sekali, tiga bulan sekali atau setahun sekali, tetapi bergantung kepada kawasan dan tahap kualiti air,” terangnya.

Tambah menarik, Smart Ehsan Onion hanya memerlukan seorang penyelia bertugas bagi memantau dan memastikan ketetapan dalam aplikasi dilakukan mengikut aturan serta tiada gangguan teknikal.

“Sesetengah pekerja mungkin tidak mahir dengan penggunaan teknologi.

“Jadi, kita akan berikan tugas kepada mereka yang betul-betul bertanggungjawab bagi mengelakkan gangguan sistem.

“Mereka yang ditugaskan akan memantau aplikasi dan pekerja ladang lain mengikut kesesuaian masing-masing.

“Apabila penyiraman dan pembajaan tanaman tidak perlu dibuat, pekerja boleh memberi fokus kepada perkara lain seperti siraman racun kulat, rumpai atau penyakit lain yang boleh merosakkan tanaman.

“Biarpun adanya sistem ini, namun saya tidak menafikan perlunya tenaga pekerja manual untuk tujuan menuai hasil dan beberapa pekerjaan lain.

“Paling penting, aplikasi ini dapat mengurangkan kos pengambilan pekerja,” ujarnya.

Untuk makluman, pokok bawang bagi 1 ekar (0.4 hektar) bersamaan dengan 100 batas, sementara setiap batas memiliki 1,220 pokok.

Setiap satu pokok akan menghasilkan kira-kira 35 gram iaitu tiga hingga empat biji bawang.

Hilal Azri juga memaklumkan, penggunaan sistem digital boleh meningkatkan risiko berdepan masalah teknikal perisian.

Bersedia dengan segala kemungkinan itu, dia memberitahu, PKPS mempunyai pasukan teknikal yang boleh membantu mengatasi masalah tersebut.

“Kita mempunyai bahagian teknikal dan khidmat nasihat bagi memastikan tahap fungsi perisian dalam keadaan baik dan tidak mempunyai masalah ketetapan.

“Aplikasi ini juga boleh merekod proses sejarah penyiraman, pembajaan, pembersihan air, kelembapan tanah dan ramalan cuaca,” katanya sambil memberitahu, aplikasi tersebut mula diperkenalkan pada tahun lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN