Selain panorama yang indah, Pak Bara, Thailand juga dekat dengan sempadan negara dan makanan ala Thai yang enak.
Sebenarnya, stok ikan di laut Pak Bara juga masih banyak dengan pelbagai spesies ikan dasar yang menunggu pemancing untuk didaratkan.
Perjalanan
Pada pukul 10 malam, kami semua berjumpa di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak. Demikian arahan diberikan oleh Norazmi Nordin atau Tok Mi merangkap ketua kumpulan Ghombau Anglers.
Hentian kedua pula adalah di R&R Gurun, Kedah. Kemudian, kami singgah di Masjid Ihya Ulumuddin di Changlun untuk solat subuh. Selepas itu, kami berjumpa wakil insurans untuk mengambil segala dokumen yang telah diuruskan lebih awal oleh pengurus trip bagi mempercepatkan urusan.
Kami tiba di imigresen Malaysia di Wang Kelian, Perlis pada pukul 8.30 pagi untuk urusan cop pasport. Kami menyerahkan borang perisytiharan barangan yang dibawa, sebelum masuk ke imigresen Thailand di Wang Prachan.
Alhamdulillah, perjalanan kami lancar sehingga tiba di Pak Bara pada pukul 11 pagi. Kemudian, kami terus menaiki bot Abdullah Pian Sakul. Selesai memasukkan barangan ke dalam bot dengan bantuan tekong bot, Abdullah serta awak-awaknya, Wahid merangkap tukang masak dan seorang lagi adik tekong bot. Tanpa membuang masa, bot terus bergerak.
Umpan hidup
Kesempatan yang ada, masing-masing mula memasang peralatan memancing sebelum diletakkan di tempat pilihan tanpa sebarang pengundian kerana sudah faham serta sepakat.
Ahli trip yang muda-muda semua berada di hadapan bot kerana mereka akan jigging. Ini kerana, kaedah itu banyak menggunakan tenaga dan perlukan kepantasan, manakala ahli trip yang sudah berumur seperti saya akan berada di bahagian belakang bot dengan teknik pancingan dasar.
Lebih kurang 15 minit bergerak, bot berhenti di kawasan sekitar Koh Yai atau Pulau Yai untuk mengambil sotong hidup yang telah ditempah.
Tempahan umpan sotong hidup ini berdasarkan rezeki, jika ada, maka adalah umpan sotong hidup. Jikalau tiada sotong hidup diperoleh, maka wang bayaran sewa bot untuk menangkap umpan sotong hidup tadi tetap hangus. Maka terpaksalah menggunakan umpan sotong dan kembung mati sahaja.
Rezeki memihak kepada kami, kira kira 400 ekor sotong hidup diperoleh. Selesai pemindahan umpan dilakukan, kami terus bergerak semula menuju ke lokasi pancingan.
Masa pancingan
Pada pukul 6.15 petang, sesi pancingan bermula. 15 minit kemudian, Saniy menjadi peserta pertama menaikkan ikan ebek ‘remaja’.
Suasana kemudiannya menyepi sehingga ufuk merah di langit hilang, barulah ikan mahu memakan umpan semula dan saya menjadi peserta kedua menaikkan ikan kerapu.

Kira-kira pukul 8.45 malam, ikan sasaran mula menjelma, Shaiful berjaya mendaratkan jenahak seberat 3.5 kilogram (kg) berumpankan sotong hidup. Selang 10 minit kemudian, Azeze memperoleh jenahak 3.1kg. Jenahak yang mereka peroleh telah tiada tompokan hitam di bahagian ekornya, manakala jenahak yang saya peroleh masih mempunyai tanda hitamnya lagi, mungkin ia masih remaja.
Lubuk berkedalaman sekitar 53 meter (m) ini kebanyakannya dihuni oleh jenahak dan kerapu, hanya sesekali ikan cermin usia remaja mencelah. Menjelang pukul 6 pagi, kami berjaya memperoleh kira-kira 12 ekor jenahak.
Hari esok
Kami masih di lokasi sama, kali ini giliran Tok Mi yang berposisi di hadapan bot pula mendapat jenahak dan beberapa ekor ikan cermin, cencaru serta tongkol.
Manakala, pasukan orang muda terdiri daripada Faid dan Nasha mencuba jigging. Segerombolan tenggiri batang bersaiz comel sekitar 1 hingga 2kg hadir menjamah jig mereka.
Seharian kami berkampung di sini. Hasil perahan tenaga oleh mereka berdua di bahagian hadapan bot, kami berhasil mendaratkan kira-kira 31 ekor tenggiri dengan jig.
Selain jigging dan pancing dasar, kami turut memainkan apollo atau sabiki iaitu susunan beberapa mata kail yang diikat dengan bahan menyerupai bilis atau anak ikan pada satu perambut. Hasil berupa cencaru agak lumayan dan dibahagikan sama rata kepada semua ahli trip.
Pada pukul 7.30 malam, kami berpindah ke satu lagi lokasi iaitu kira kira empat jam masa perjalanan.
Namun di lokasi terakhir ini, ikan bagaikan mengunci mulut. Semua senyap sunyi tanpa ada apa-apa hasil. Pada pukul 2 pagi, kami bergerak pulang ke jeti.














