fbpx
Ainur tidak menyangka abang iparnya sanggup menghantar santau pemisah bagi menghancurkan hubungan dia dan suami. Selepas bercerai. dia tidak lagi mengalami gangguan misteri termasuk muntah-muntah darah dan kini serik berkahwin lagi. – Gambar hiasan

K2

Bercerai angkara sihir pemisah abang ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP hubungan suami isteri pasti pernah diduga dengan pelbagai masalah meskipun dijaga rapi.

Bak kata pepatah, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pasangan suami isteri’.

Pun begitu, kadangkala permasalahan atau runtuhnya mahligai cinta itu bukan datang daripada diri sendiri, sebaliknya kejahatan orang ketiga.

Membuka kisah yang sudah sedekad terbungkam dalam hati, Ainur (bukan nama sebenar), 36, mengakui, hatinya langsung tidak pernah merasai nikmat kebahagiaan sebenar bergelar isteri.

Menurut anak jati Bera, Pahang itu, keretakan rumah tangga yang dibina selama hampir tiga tahun bersama bekas suaminya itu dimusnahkan oleh orang paling dipercayai mereka.

“Jujur saya katakan, sepanjang bergelar isteri yang sah kepada suami, saya langsung tidak rasa nikmat kebahagiaan sebenar.

“Suami sangat okey dan baik. Saya nampak kejujuran serta keikhlasannya itu apabila dia mahu memperisterikan saya.

“Masalah mula timbul apabila ada campur tangan daripada keluarga sebelah suami. Bahasa mudahnya adalah daripada abang ipar saya sendiri,” katanya.

Meneruskan cerita, bekas pegawai tadbir diplomatik itu memberitahu, dia merasakan ada perkara janggal dan aneh mengenai abang iparnya sejak kali pertama bertemu.

Jelasnya, dia tidak tahu apa yang difikirkan oleh lelaki berusia sekitar 50-an itu, namun nalurinya kuat mengatakan bahawa ada benda tidak kena antara mereka berdua.

“Saya pernah tanya suami sebab abangnya tidak bertegur sapa dengan saya. Suami tidak berapa faham dan dia cuma beritahu abangnya memang begitu.

“Suami cakap, abangnya itu memang tidak bercampur orang dan kurang mesra. Sukar hendak senyum dan bengis wajahnya, tetapi kata dia apabila sudah kenal abang ipar sangat baik,” tuturnya.

Tambah Ainur, setahun selepas bernikah, dia disahkan hamil 15 minggu dan hasil ujian imbasan, dia dikurniakan cahaya mata kembar.

Akui Ainur, dia dan suami begitu gembira dengan rezeki yang dikurniakan itu dan tidak menyangka akan bergelar ibu bapa.

“Saya masih ingat, ada satu pagi saya bangun bersiap untuk solat subuh sebelum mandi untuk ke tempat kerja.

“Ketika itu, usia kandungan saya sudah menghampiri lima bulan iaitu selang beberapa hari selepas mendapat berita gembira mengenai anak kembar.

“Tiba-tiba, saya rasa sakit yang teramat sangat di bahagian rahim dan perut sehingga membuatkan saya tidak stabil sebelum rebah di bilik mandi.

“Terjaga saja daripada pengsan, saya sudah berada di hospital bertemankan suami di sisi, selain ibu mentua dan abang ipar.

“Saya lihat suami dan ibu mentua menangis di sisi. Bila saya tanya kenapa, suami hanya memeluk erat saya tanpa berkata apa-apa,” katanya.

Kemudian, Ainur dimaklumkan oleh suaminya bahawa dia telah mengalami keguguran dan kematian janin.

Selepas episod hitam itu, Ainur bangkit semula dan meneruskan rutin harian seperti biasa, selain menganggap belum ada rezeki buat mereka untuk menimang cahaya mata.

Selang dua bulan kemudian, Ainur sekali lagi jatuh sakit, namun kali ini dia rasa seperti hampir ‘mati’.

“Saya muntah darah tidak henti-henti di tempat kerja hingga ke rumah.

“Suami bawa saya ke klinik dan doktor beritahu tiada apa-apa. Mungkin alahan dan terlalu penat bekerja.

“Usai tiba di rumah dari klinik, saya muntah darah beberapa kali sehingga sukar bernafas sebelum meminta suami panggil ambulans untuk ke hospital,” katanya.

Disebabkan penyakit misteri itu, dia jatuh sakit dan tidak dapat bekerja hingga terpaksa berhenti kerja. Ujarnya, dia juga tidak henti-henti mengalami mimpi buruk sepanjang sakit tersebut.

Disingkatkan cerita, keluarganya dan suami berusaha mencari jalan alternatif termasuk mendapatkan khidmat rawatan Islam sehingga ke utara tanah air.

“Apa yang saya ingat sampai sekarang, pakar perubatan Islam itu kata, saya kena santau pemisah dan ia berulang kali dihantar.

“Ada pihak yang tidak suka dengan hubungan kami ini. Senang kata, orang itu hendak musnahkan hubungan kami kerana tak senang melihat kami bersama sebagai suami isteri dengan ‘menyeksa’ saya.

“Ustaz ada tanya sama ada kami hendak tahu atau tidak siapa pelakunya. Apabila diberitahu, alangkah terkejutnya kami.

“Tidak disangka, kata hati saya selama ini seakan-akan benar sejak kali pertama menatap mata abang ipar.

“Tidak tahan terus diuji dengan perbuatan syirik itu, saya meminta suami untuk lepaskan (ceraikan) saya dan pulang ke kampung halaman. Ini bagi membolehkan saya teruskan rawatan dan memulakan hidup baharu. Selepas bercerai saya sihat dan tiada lagi hal-hal misteri ini,” katanya yang serik berumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN