fbpx
Inilah rekod peribadi toman Fiekah, seberat 6.35kg.

K2

Memujuk toman Tasik Gubir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TASIK Gubir, Sik, Kedah dihuni pelbagai spesies ikan air tawar seperti toman, sebarau, kaloi, lampam dan kelisa. Jadi, tidak hairanlah jika ramai kaki pancing dari serata tanah air datang ke sini bagi memenuhi masa lapang memburu ikan-ikan yang menjadi idaman.

Hal ini juga selalu dilakukan oleh Norismatulhafikah Balqis Isyak atau lebih mesra dipanggil Fiekah, 25, yang turun bersama sahabat-sahabat wanitanya (Lady Angler). Mereka menggunakan perkhidmatan bot sewa di jeti Tasik Gubir dengan menggunakan khidmat tekong Tom Angler dan Anep Kaloi.

Tanpa membuang masa, tekong terus membawa mereka ke lubuk yang sering pemancing beroleh toman.

Fiekah menggunakan set pancing joran Eupro Bone Fisher 10-20lb digandingkan dengan kekili Shimano CG Dc 201 HG.

Dia bergantung harapan pada gewang Eupro K2 Crank yang disua setiap kali ternampak toman naik ke permukaan air untuk menghirup udara. Ini dilakukan tanpa jemu kerana ia merupakan antara kaedah utama memburu ikan toman.

Tasik Gubir juga terkenal sebagai habitat ikan kelisa Nami yang rare kerana corak batik di sisiknya.

Akhirnya, usaha Fiekah bersahut apabila gewangnya diragut rakus. Ikan terus membenam ke reba, tetapi berjaya ditahan. Setelah bertarung beberapa minit, sang toman bersaiz mega yang diidam-idamkan akhirnya tumpas.

Fiekah dan rakannya bersorak riang dan setelah ditimbang, angka di alat penimbang digital menunjukkan 14 paun (lb) bersamaan dengan 6.35 kilogram (kg). Fiekah bertambah seronok apabila tangkapan kali ini mengatasi rekod sebe­lumnya. Setelah bergambar, toman tersebut dilepaskan semula ke dalam tasik.

Kumpulan anak toman
Menurut tekong, cara terbaik untuk memburu toman bersaiz kasar adalah dengan menjejaki kawanan anak-anak toman yang naik ke permukaan air.

Kemudian, barulah gewang dilontar kepada kumpulan tersebut dengan harapan ‘mama’ atau ‘papa’ yang berada di sekitar akan marah lantas menyergap gewang tersebut.

Walau bagaimanapun, pemancing amat digalakkan agar melepaskan semula induk toman yang dipancing supaya ia dapat menjaga anak-anaknya daripada gangguan ikan-ikan pemangsa lain.

Kenangan bersama ‘mama’ toman merupakan rekod peribadi Fiekah pada kunjungan kali ini.

Selama dua hari trip, dia berjaya menumpaskan empat ekor toman termasuk ikan rekod peribadinya.

Ini bakal menaikkan semangatnya untuk menawan toman bersaiz lebih besar di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN