MENEPIS persepsi masyarakat bahawa wanita tidak akan berjaya melakukan pekerjaan berat, kotor dan busuk menjadi cabaran utama kepada seorang penternak ayam kampung di Kampung Parit Haji Noor, Sri Medan, Batu Pahat, Johor.
Namun, semua itu disimpan di dalam hatinya, dan wanita tersebut terus berusaha membuktikan bahawa semua orang tanpa mengira jantina boleh melakukannya jika ada minat serta usaha yang jitu.
Walaupun tanpa sebarang ilmu mendalam berkaitan cara menternak ayam kampung, namun usaha itu dilakukan selepas melihat kejayaan bapanya, Azmi Roslan, 49.
Bapanya berjaya membela hampir 1,000 ekor ayam kampung, biarpun diusahakan dalam tempoh tidak sampai setahun.
Nur Fareza Azmi, 21, berkata, melihat kepada kejayaan bapanya, ia telah membibitkan rasa minat untuk melakukan perkara sama.
Hal ini kerana, dia sentiasa berpegang kepada pendapat, ‘jika orang lain boleh, kenapa saya tidak mampu melakukannya’.
Dengan keyakinan tersebut, ibu muda anak satu itu mula mengorak langkah dengan menjadikan tanah di dalam kebun kelapa sawit milik neneknya sebagai tapak permulaan untuk memenuhi impiannya.
“Walaupun ayah telah berpisah dengan kami, namun kejayaannya tetap menjadi inspirasi kepada saya untuk mengusahakan ternakan ayam kampung.
“Malah, baka yang saya bela sekarang ini turut diperoleh daripada ayah yang mengusahakan ternakan ayam kampung di Machap, Simpang Renggam,” katanya kepada Wanita.
Menurut Nur Fareza, kemampuannya mengurus serta mengusahakan ternakan ayam kampung telah menepis pandangan orang ramai bahawa kegagalan dalam pelajaran bukannya penamat kehidupan seseorang itu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga melahirkan rasa syukur apabila usahanya itu turut mendapat sokongan daripada suaminya, Muhammad Faiz Yahya, 25.
“Ramai orang berkata, setakat lulus Sijil Pelajaran Malaysia, ia tidak akan membawa seseorang itu kepada kejayaan, dan saya akan membuktikannya suatu masa nanti.
“Sebagai permulaan, pada Oktober tahun lalu, saya membela 55 ekor ayam kampung, namun semuanya sudah habis ditempah,” katanya.
Nur Fareza turut merancang untuk membuka reban lebih besar dalam masa terdekat bagi membolehkannya menternak dalam jumlah lebih banyak bagi memenuhi tempahan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Bagaimanapun, terdetik kebimbangan dalam dirinya memandangkan musim Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada Mac nanti. Hal ini kerana, Kampung Parit Haji Noor Darat antara lokasi paling terjejas sekiranya berlaku banjir.
“Saya merancang untuk membina reban lebih besar di Parit Raja yang mampu menempatkan sekitar 200 ekor ayam kampung pada satu-satu masa.
“Meskipun ada yang tertanya-tanya sebab saya hanya membela ratusan ekor ayam kampung, dan bukannya ribuan ayam daging.
“Hakikatnya, membela ayam kampung berbeza sama sekali dengan kaedah diguna pakai untuk menternak ayam daging,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Zulkarnain Kamisan berkata, usaha yang dilakukan oleh Nur Fareza itu seharusnya menjadi teladan kepada orang ramai.
Ujarnya, setiap kejayaan tidak datang bergolek, jika tanpa usaha.
Katanya, sebagai anak muda berwawasan tinggi, pihaknya akan membantu dari sudut yang membolehkan impian Nur Fareza tercapai.
Dia berkata, bantuan itu bagi membolehkan Nur Fareza mencipta kejayaan dalam ternakan ayam kampung, sekali gus membina kehidupan lebih baik untuk keluarganya.
“Saya amat menyokong usaha seperti ini, apatah lagi melibatkan seorang wanita.
“Jarang-jarang ditemui wanita yang sanggup bergelumang dengan kotoran serta bau tidak menyenangkan ini,” katanya sebelum menutup bicara.














