BUKIT GANTANG – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bercadangkan memperkenalkan standardisasi gred beras putih bagi menoktahkan isu berkaitan beras di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, cadangan itu bakal dikemukakannya dalam sesi Parlimen akan datang.
“Isu ketidakcukupan beras tempatan dalam pasaran sememangnya menjadi rungutan rakyat di negara ini kerana ia belum diselesaikan secara tuntas.
“Begitu juga rungutan rakyat mengenai harga beras import yang dilihat membebankan mereka dan perkara ini perlu diberi keutamaan untuk dinoktahkan,” katanya kepada pemberita di Dewan Taman Mewah Fasa 1 Taiping di sini hari ini.
Syed Abu Hussin berkata, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kunjungan ke Pakistan untuk mengusahakan pembelian tambahan sebanyak 100,000 tan metrik beras putih.
“Dalam kunjungan itu, rundingan juga telah diadakan bersama 28 pengekspot utama negara tersebut yang menyatakan kesediaan mereka menjual beras putih kepada kerajaan Malaysia dengan harga RM2,200 untuk satu metrik tan.
“Sebelum ini harga pasarannya adalah sebanyak RM2,800 satu metrik tan. Dengan penawaran harga sebanyak RM2,200 ia akan membuka peluang kepada pelarasan harga yang lebih kompetitif,” katanya. – KOSMO! ONLINE














