fbpx
Uwais, Nur Sofea ketika menerima rawatan di Melaka.

Nahas 7 maut: Umi, umi kat mana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri mengorbankan tujuh nyawa di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Ayer Keroh pada 23 Disember lalu masih terkejut dengan berita kematian ibu bapa dan adik bongsu mereka.

Malah, Nur Sofea Humaira, 4, yang merupakan anak kedua kepada pasangan Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Allahyarham Fadzlenna Ramli, 32, juga sering kali bertanya tentang keberadaan ibunya.
Menurut datuk kepada kanak-kanak itu, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, kedua-dua cucunya itu belum lagi bersedia untuk bercakap mengenai kejadian yang menimpa ibu bapa mereka.

“Waktu saya ambil mereka di Melaka semalam (Sabtu), saya sudah maklumkan tentang kejadian yang menimpa ibu bapa mereka atas nasihat doktor. Mereka berdua menangis dan sedih.

“Setakat ini, bila berjumpa orang, si abang hanya berdiam, manakala adiknya kadang-kala akan bertanya di mana umi mereka,” kata Mazupi ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini semalam.

Terdahulu, Nur Sofea dan abangnya, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Melaka telah dibenarkan pulang dan dibawa pulang ke rumah datuk mereka kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, adik bongsu mereka, Muhammad Umar, 2, selain datuk dan nenek kanak-kanak berkenaan iaitu Ramli Ab Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69 turut terbunuh.

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran, Noorisien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

Bercerita lanjut, Mazupi me­ngakui emosi kedua-dua cucunya ketika ini masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan perhatian keluarga sementara dalam proses penyembuhan.

Katanya, dia kini hanya menumpukan sepenuhnya kepada kebajikan dua kanak-kanak itu memandangkan mereka berdua sudah menjadi yatim piatu.

“Mereka perlukan perhatian dan sokongan daripada ahli keluarga. Sekarang saya letakkan mereka di tingkat bawah rumah untuk elakkan emosi mereka terganggu sekiranya terlihat barang-barang peninggalan arwah.

“Sejujurnya, saya tidak boleh fikir perkara lain buat masa ini kerana sebarang kecuaian, saya berdosa sebab mereka sudah bertaraf anak yatim piatu,” ujar­nya.

Kata Mazupi, setakat ini, dia sudah menerima bantuan dua unit katil untuk cucunya yang disumbangkan masing-masing oleh persatuan penduduk dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Mereka akan teruskan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik Hospital Serdang dan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur,” jelas­nya lagi.

Mengulas mengenai peribadi Allahyarham Khairul, Mazupi menjelaskan anak lelakinya itu sorang yang sangat baik dan tidak pernah sekalipun berkata ‘tidak’ kepada kedua orang tua­nya.

Menurut Mazupi, dia juga sa­ngat rapat dengan arwah, malah dengan semua anaknya yang sudah dianggap sebagai kawan baik.

“Mereka rapat dengan saya, sebagai anak, sebagai kawan. Tapi walaupun kita rapat, mereka sangat menghormati saya dan isteri sebagai ibu bapa. Arwah ni jenis ‘never saya no’ (tak pernah kata tidak) daripada kecil.

“Kalau mak dia suruh pergi kedai, dia akan tinggal main. Dia takda kata tunggulah atau ‘ah’. Kalau marah dekat dia, sepatah pun dia tak menjawab,” katanya.

Mazupi berkata, meskipun pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya, namun mereka tetap reda dengan ketentuan ilahi.

“Bila jadi macam ini, saya reda juga kerana apabila Allah ambil dia cepat, bermakna Allah sa­yang dia,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN