SHAH ALAM – Kumpulan scammer bas sekolah kembali ‘mengganas’ apabila terdapat golongan ibu bapa ditipu bagi mendapatkan perkhidmatan penghantaran anak-anak pada sesi persekolahan akan datang.
Mereka dikatakan mengaut untung sehingga RM6,000 setakat ini dengan menggunakan profil dan gambar bas sekolah berdaftar yang cantik sebagai umpan penipuan tersebut.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (PKIBSM), Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 30 aduan daripada pengusaha bas sekolah berdaftar terutama di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Katanya, mereka mengenakan bayaran bulanan dan deposit dianggarkan RM200 sebagai tempahan kepada perkhidmatan yang tidak wujud itu.
“Modus operandi mereka ialah menggunakan gambar-gambar pengusaha-pengusaha bas sekolah dan alamat operasi orang lain untuk meminta wang pendahuluan.
“Wang ini perlu didepositkan ke akaun scammer dan mereka sungguh cekap dalam tipu muslihat sehingga ada ibu bapa terpedaya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau menegaskan, sikap ibu bapa yang leka atau tidak prihatin mudah diperdaya apabila melihat gambar bas sekolah baharu dan cantik, berdaftar selain tambang yang murah.
Jelas Mohd. Haron, tanpa menyelidik dengan mendalam, mereka percaya dan membayar deposit ke akaun scammer ini.
“Ada juga kita terima aduan mengalami kerugian sehingga RM350 dengan bayaran dibuat secara dua peringkat serta dijanjikan ada sesi perjumpaan dengan pemandu van.
“Sepatutnya ibu bapa perlu lebih peka dan meluangkan masa untuk menyelidik secara teliti. PKIBSM bimbang kejadian lebih buruk boleh berlaku jika anak-anak diculik,” ujarnya.
Kata beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, semakan maklumat pemilik bas sekolah boleh dibuat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Perlulah cerewet sikit demi keselamatan anak-anak kita.
“Ramai juga ibu bapa atau penjaga ditipu semasa pendaftaran apabila ditunjukkan bas sekolah yang cantik.
“Namun, selepas itu, mereka menggunakan kenderaan haram seperti kereta dan van putih awam. Insurans tidak melindungi anak-anak anda jika menggunakan kenderaan haram,” katanya.
Kosmo! 22 Julai tahun lalu melaporkan keterdesakan ibu bapa mendapatkan bas sekolah untuk kegunaan anak-anak mereka telah dimanipulasi golongan tertentu meraih keuntungan mudah sejak awal tahun.
Modus operandi antaranya meletakkan harga perkhidmatan serendah RM40 selain meminta deposit sebanyak dua bulan.














