SKUAD Harimau Selatan digesa untuk mempamer aksi yang lebih meyakinkan apabila bertemu pasukan Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berkata, penyandang juara itu perlu lebih garang di atas padang setelah hanya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur City , baru-baru ini.
Katanya, selain meneruskan rentak kemenangan, pemain juga perlu memberikan persembahan yang konsisten kerana setiap perlawanan adalah berbeza dan tidak boleh memandang rendah pihak lawan.
“Ada perkara yang perlu diperkemaskan lagi apabila berdepan Sri Pahang antaranya skil permainan individu yang tidak berkesan ketika menentang KL City malah kami juga perlu tingkatkan lagi corak permainan berintensiti tinggi.
“Benteng pertahanan juga perlu lebih kukuh, saya agak terkilan ketika The City Boys mampu menjaringkan satu gol kerana ia situasi yang boleh dielakkan sekiranya pemain pertahanan memberi tumpuan penuh selain merantai setiap pemain lawan,” katanya.
Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, pasukan juga perlu memanfaatkan setiap peluang situasi bola mati dengan menjelmakan jaringan sekali gus memberi kelebihan buat pasukan.
Dalam pertembungan terdahulu menentang pasukan Tok Gajah pada Jun lalu, JDT berjaya menewaskan lawan dengan jaringan 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE








