PETALING JAYA – Kuala Lumpur (KL) City sedia untuk ‘parkir bas’ ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi pertama suku akhir Piala Malaysia, malam ini.
Pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac menyifatkan bertemu lawan seperti JDT memerlukan strategi terbaik terutamanya daripada aspek bertahan bagi mengelakkan mereka bolos lebih awal.
Selepas tewas 0-3 kepada lawan sama di pentas Liga Super minggu lalu, Kuljanac tidak menafikan rembatan jauh yang sering kali dilakukan oleh JDT antara yang sukar untuk dielak dan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan bekalan selesa dapat dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi kedua nanti.
“Saya harap pemain dapat bertahan dengan lebih baik sebab biasanya apabila berdepan JDT, memang memaksa kita untuk lebih bertahan.
“Dan ditambah dengan situasi yang tak dapat dielakkan seperti contoh tendangan dari jarak jauh dari JDT, kadang-kadang itu yang menghukum pasukan kita walaupun kita sudah berusaha untuk mengawal dalam kotak penalti.
“Apa pun, saya masih memikirkan kesebelasan terbaik untuk malam esok disebabkan dua pemain kita bersama pasukan kebangsaan, Giancarlo (Gallifuoco) digantung perlawanan dan Nick Swirad pula cedera”, katanya. – KOSMO! ONLINE








