PETALING JAYA – Keghairahan untuk berhibur sambil mengambil ganja bagaikan menjadi trend dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia yang memilih Thailand sebagai destinasi bercuti sambil melepaskan gian mereka.
Antara faktor yang mendorong kehadiran pengunjung adalah disebabkan negara jiran itu ‘menghalalkan’ penggunaan bahan terlarang tersebut.
Selain itu, harga murah serta mudah diperoleh turut menjadi punca ada pengunjung yang sanggup ke Thailand semata-mata untuk menghisap ganja.
Mengakui perkara itu, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Alias, 30, berkata, dia akan berkunjung ke Thailand sebanyak dua kali setahun semata-mata untuk berhibur.
Menurutnya, antara lokasi yang sering dikunjungi adalah Danok dan Krabi berikutan dadah di sana lebih murah berbanding Hatyai.
“Kalau di Danok, ganja jenis bunga masih boleh didapati sekitar 150 baht (RM25), manakala di Krabi pula pusat hiburannya lebih menarik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Alias berkata, dia juga pernah mengunjungi ladang ganja milik rakyat tempatan di Ko Lanta, Krabi baru-baru ini.
“Saya dipelawa oleh pemilik kedai ganja dan dia bawa saya ke ladangnya secara percuma untuk melihat dan merasai sendiri ganja yang ditanam,” ujarnya.
Meskipun sudah mempunyai anak, Alias mengakui kemahuannya untuk mengambil ganja tidak pernah berhenti selepas mendapat kebenaran daripada isteri.
“Setiap kali ke Thailand, saya akan bawa bersama keluarga. Alang-alang sambil layan ganja, dapat bawa mereka melancong ke tempat yang menarik,” jelasnya.
Sementara itu, seorang kontraktor berusia 36 tahun mendedahkan penguatkuasaan yang ketat di Malaysia membuatkan dirinya memilih untuk berhibur di luar negara.
“Saya mula berhibur sejak awal usia 20-an, pada waktu itu tidak mengambil bahan terlarang tetapi apabila kerap berdepan serbuan pihak berkuasa di pusat hiburan tempatan, proses siasatan memakan masa yang terlalu lama.
“Akhirnya, saya memilih berhibur di luar negara seperti Bangkok, Jakarta dan Manila,” katanya.
Lelaki dikenali sebagai Aiman (bukan nama sebenar) itu berkata, antara destinasi kegemarannya ialah Thailand ekoran kos yang lebih rendah dan perkhidmatan lebih mudah diakses.
Jelas Aiman, minatnya berhibur di luar negara semakin sukar dikawal apabila bertemu dengan kekasih gelap yang merupakan gadis pelayan pelanggan (GRO) bernama Noi di Betong.
“Noi ialah wanita yang akan membantu saya sekiranya saya ingin berhibur di Thailand. Dia akan menawarkan segala jenis hiburan yang ada termasuk ubat kuat dan ganja.
“Gadis pelayan pelanggan (GRO) di sana hanya sekitar 3,000 baht (RM380) untuk semalam, jauh lebih murah berbanding Jakarta.
“Selain hiburan malam, Thailand turut menawarkan kebebasan yang sukar didapati di Malaysia. Ganja di sana halal, jadi mudah untuk mendapatkannya. Di Krabi, ada joki-joki yang menawarkan ganja dan ubat kuat di luar pusat hiburan. Ia lebih mudah berbanding Malaysia,” katanya.
Menurutnya, dadah seperti ganja dijual dalam pelbagai bentuk termasuk seperti rokok balut dengan harga sekitar RM28 untuk tiga batang.
Tambah Aiman, beberapa lokasi seperti Lee Garden di Hatyai, Ao Nang di Krabi, dan Khaosan di Bangkok boleh dianggap sebagai syurga dunia buat sesiapa yang ingin berhibur.
“Di sana, semuanya lengkap dari sudut wanita, hiburan, penginapan dan makanan. Semuanya dengan kos yang sangat rendah. Ia memang syurga dunia,” katanya yang kali terakhir berkunjung ke Thailand pada Jun lalu.
Namun beliau mengakui, status sebagai suami dan bapa kepada dua anak lelaki kini membataskan aktivitinya.
“Sekarang saya jarang ke sana, walaupun kehidupan malam di Thailand sangat menarik,” jelasnya lagi.














