fbpx
Para peserta memulakan larian fun run sejauh 3 kilometer di pekarangan Mediplex, SJMC, Subang Jaya, Selangor.

K2

Lebih 2,000 sertai larian kesedaran diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Diabetes terus menjadi masalah kesihatan yang ketara di Malaysia dengan satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes atau bersamaan kira-kira 3.6 juta orang.

Jika tidak ditangani, angka ini dijangka meningkat kepada tujuh juta orang pada tahun depan.

Sebagai usaha meningkatkan lagi kesedaran terhadap penyakit diabetes di negara ini, banyak pihak tampil dengan pelbagai inisiatif antaranya Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor yang menganjurkan larian komuniti tahunannya, ‘Diabetes Dash: Empowering Steps to Wellness’.

Lebih 2,000 peserta menyertai acara larian itu yang diadakan pada 1 Disember lalu bertempat di Mediplex, SJMC.

Mereka yang terlibat terdiri daripada pelbagai golongan seperti orang awam, pelari profesional, pekerja penjagaan kesihatan dan kakitangan SJMC sendiri.

Pakar Endokrinologi SJMC yang juga merupakan Penasihat Jawatankuasa Acara, Dr. Hew Fen Lee berkata, pendidikan dan sokongan berterusan adalah perlu bagi membantu individu yang menghidap diabetes untuk mengambil langkah proaktif ke arah kesihatan yang lebih baik.

“Pengubahsuaian gaya hidup adalah strategi paling berkesan untuk mencegah diabetes daripada menjadi lebih teruk.

“Pengubahsuaian gaya hidup boleh dibuat dengan mengurangkan jumlah kalori yang diambil sehari dan melibatkan diri dengan aktiviti fizikal yang kerap seperti berlari, berjalan pantas, berenang atau berbasikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu,” katanya.

Bryan (tengah) ketika menyerahkan cek sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan Action4Diabetes.

Sejak penubuhannya pada 2014, SJMC Run telah menjadi platform utama untuk meningkatkan kesedaran diabetes dan memperkasa komuniti untuk mengawal kesihatan mereka.

Inisiatif itu yang memberi tumpuan terhadap usaha untuk mengurangkan kelaziman diabetes adalah termasuk penganjuran pelbagai program promosi pendidikan dan kesihatan yang direka untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Larian itu menampilkan pelbagai kategori seperti fun run sejauh 3 kilometer (km) dan maraton sejauh 10km dan 21km.

Sebagai menggandakan usahanya memerangi diabetes, SJMC pada acara itu turut menyumbangkan peranti Pemantauan Glukosa Berterusan (CGM) dan glucometer bernilai RM19,000 kepada pesakit diabetes yang kurang bernasib baik melalui pertubuhan bukan kerajaan Action4Diabetes.

Sumbangan itu bagi menunjukkan dedikasi hospital tersebut untuk memberikan bantuan buat mereka yang memerlukan dalam menguruskan rawatan diabetes dengan lebih berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin pula menambah acara sedemikian menonjolkan kepentingan aktiviti senaman dan diet yang seimbang dalam mencegah diabetes.

“Aktiviti kemasyarakatan juga penting dalam meningkatkan kesedaran kepada orang ramai supaya mengutamakan kesihatan mereka.

“Acara ini juga mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap pencegahan diabetes.

“Setiap peserta yang hadir telah menunjukkan tanggungjawab bersama untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka, sekali gus membuktikan bahawa usaha bersama boleh mencipta perubahan bermakna dalam membina masa depan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN