SEJARAH tidak boleh dipisahkan dengan sesebuah masyarakat. Perkembangan tamadun manusia itu sendiri berasaskan kepada sejarah. Jadi, siapalah kita untuk menidakkan sejarah dalam pembangunan negara bangsa.
Moden atau maju sesebuah negara terletak kepada sejarah bangsanya. Justeru itu, Sejarah merupakan subjek penting yang diajar di sekolah dan ia menjadi mata pelajaran pilihan di institusi pengajian tinggi.
Pelajar sering mengatakan bahawa pelajaran Sejarah penuh dengan tarikh, orang dan tempat yang memerlukan hafalan.
Namun, jika diajar dengan niat untuk memberi inspirasi dan melibatkan diri, Sejarah bukanlah membosankan atau sekadar untuk ditonton dan lulus peperiksaan.
Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.
Usaha ini bagi melahirkan warganegara Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan bagi mencapai kesejahteraan diri, memberi sumbangan terhadap keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.
Inti pati utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan warganegara seimbang rohani dan jasmani yang bakal memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.
Perkembangan pesat teknologi dengan adanya berbagai jenis media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan memberikan cabaran besar kepada pendidikan Sejarah di negara ini.
Sebagaimana yang dinyatakan tadi, kemajuan pesat teknologi maklumat hari ini pastinya memberi kesan kepada minat generasi muda terhadap bidang sejarah.
Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar, malah kepada guru-guru untuk memikirkan cara sesuai untuk diaplikasikan pada generasi teknologi maklumat (IT) masa kini.
Salah satu trend terkini yang telah mempengaruhi manusia seluruh dunia adalah teknologi AI melalui ChatGPT.
Kemunculan ChatGPT memberi kesan yang hebat dalam sistem pendidikan negara dari peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.
Jika anda pernah berharap boleh membawa Abraham Lincoln atau Albert Einstein ke kelas sebagai penceramah jemputan, kini AI mungkin dapat menawarkan yang lebih baik daripada menjemput penceramah tersohor dunia.
Apa yang perlu difikirkan pada masa kini adalah mencipta aktiviti di luar kotak yang boleh diguna pakai bersama dengan kaedah ChatGPT.
Antara kaedah yang dicadangkan adalah mengaplikasikan kaedah 3M iaitu Merekod, Menganalisis dan Mentafsir.
Tiga kaedah ini dirasakan dapat membantu pembelajaran Sejarah, di samping menggunakan kaedah ChatGPT sebagai asas.
Dengan ini, ia dapat mengelakkan pelajar daripada hanya mencari, menyusun dan menyimpan jawapan, ibarat kata pepatah cari, jumpa dan simpan.
Jadi di sini, cuma ada usaha mencari tetapi tidak ada kemahiran untuk menyusun, mentafsir ilmu yang telah dipelajari serta menguasai impak ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.
Kaedah merekod merangkumi usaha sama ada menyusun, mengorganisasi dan menstruktur yang boleh dilaksanakan dengan cara membangunkan strategi dalam bilik darjah untuk menghubungkan pelajar dengan sesuatu peristiwa bersejarah.
Dalam hal ini, pelajar perlu mencari sejarah yang mengasyikkan dan menarik untuk merasai secara emosi peristiwa yang mereka pelajari.
Sebagai contoh, daripada memberi ceramah kepada pelajar tentang sejarah Malaysia mengikut kronologi, alangkah eloknya jika diberi tugasan untuk merekod peristiwa-peristiwa penting sejarah negara dengan bantuan ChatGPT.
Setelah itu, peristiwa tersebut disusun menggunakan kaedah yang mudah untuk difahami dengan menggunakan penyampaian yang menarik.
Cadangkan pelajar membandingkan struktur sejarah beberapa negara yang lain dalam tempoh tertentu dengan Malaysia.
Ini boleh membantu mereka meluaskan perspektif agar tidak menganggap sejarah itu milik negara mereka sahaja.
Ini secara tidak langsung mendidik pelajar membuat liputan tentang peristiwa sejarah global dan di luar kotak.
Kaedah kedua adalah dengan cara menganalisis. Secara amnya, fakta boleh sahaja didapati di ChatGPT.
Untuk itu, gunakan platform ini untuk pelajar mendapatkan data dan fakta, setelah itu bandingkan dengan yang ada dalam buku Sejarah.
Di sini, secara tidak langsung pelajar telah diajar untuk belajar perkara asas dalam analisis. Jika fakta setara, maka para pelajar perlu diarahkan untuk membuat analisis terhadap sesuatu peristiwa sejarah.
Sebagai contoh, berikan pelajar tugasan mengkaji tentang tokoh sejarah.
Elakkan daripada merekodkan kesilapan dan kelemahan mereka tetapi memfokuskan kepada detik-detik penting dalam zaman kanak-kanak atau awal dewasa tokok.
Pelajar juga boleh ditugaskan untuk mencari beberapa penulisan sejarah yang ditulis oleh penulis Barat tentang negara ini dan menganalisis pendapat atau penulisan mereka.
Ini cenderung menarik minat pelajar dan melatih mereka menggunakan kemahiran analisis sejarah untuk menyelidik dakwaan itu.
Ramai guru Sejarah merasakan bahawa adalah wajar untuk mengajar era sejarah secara kronologi.
Tetapi selalunya, bahagian yang paling menarik dalam cerita adalah di tengah atau di penghujung.
Jadi, mengapa tidak memulakan analisis di sana? Pendekatan ini serupa dengan rancangan televisyen jenayah yang mendedahkan mayat pada minit pertama dan kemudian menghabiskan sisa cerita dengan mengumpulkan bukti.
Memandangkan tindak balas yang dijana AI adalah jauh daripada boleh dipercayai, ahli sejarah dan pendidik, Jonathan S. Jones mendorong pemikiran kritis pelajar dengan meminta mereka meneliti output berkaitan sejarah daripada ChatGPT dan mencari kesilapan fakta dan maklumat.
Akhir sekali, pelajar perlu diajar bagaimana untuk mentafsir sesuatu peristiwa sejarah. Sesuatu peristiwa yang berlaku semestinya ada cerita dan pengajaran tersendiri.
Dalam hal ini, pelajar perlu belajar untuk mentafsir sejarah berdasarkan peristiwa yang berlaku sama ada ia memberi pengajaran, pengalaman atau ilmu baharu.
Dengan adanya teknologi AI, pelajar mendapatkan fakta dan pelajar boleh melahirkan idea baharu atau memberi pendapat sendiri berdasarkan fakta yang telah diperoleh.
Diharapkan dengan penerangan ini, ia akan membantu saya dan guru-guru di luar sana menggunakan teknologi AI dengan lebih bermakna dalam sistem pembelajaran dan pengajaran Sejarah.















