SEJAK bulan lalu penulis kerap mendengar keluhan dan dilema rakan-rakan mengenai bayaran premium insurans atau sumbangan takaful yang dikatakan naik mencecah RM50, dari RM200 menjadi RM250.
Jumlah itu bagaimanapun dilaporkan akan terus meningkat antara 40 hingga 70 peratus tahun hadapan membuatkan segelintir mungkin berfikir tidak mahu meneruskan polisi insurans atau takaful, sebaliknya bergantung kepada kemudahan perubatan disediakan majikan.
Adakah keputusan menutup polisi itu suatu tindakan penjimatan yang wajar dilakukan, apatah lagi ia membabitkan kesihatan diri yang kini kian terdedah dengan pelbagai penyakit dan virus berbahaya, manakala peruntukan perubatan disediakan syarikat terhad?
Perunding Takaful, Aina Wafi Ab. Kadir berkata, melihat kepada situasi ini, langkah perlu diambil penyumbang takaful adalah berjumpa ejen masing-masing untuk membuat penelitian semula pakej takaful atau kad perubatan diambil dan menamatkan kemudahan tambahan yang tidak perlu.
“Sebagai contoh, kebanyakan penyumbang yang mengambil kad perubatan lebih lima tahun lalu mempunyai elaun wad serendah RM80 yang diberikan mengikut jumlah hari dan kelebihan ini antara manfaat tidak utama.
“Jadi, penyumbang boleh menukar pakej perubatan dengan mengubah polisi tanpa kelebihan itu, ambil sumbangan lebih rendah dan memfokuskan kepada limit tahunan serta harga wad sahaja,” katanya.
Ujarnya, penyumbang juga sepatutnya boleh menyesuaikan pakej takaful yang diambil dengan keadaan kesihatan diri.
“Ada yang sebelum ini menaikkan limit tahunan dari perlindungan rawatan RM200,000 setiap tahun kepada RM1 juta kerana terlalu bimbang diserang penyakit kanser atau pembunuh lain.
“Pun begitu, penyumbang ini boleh menilai semula keperluan tersebut dengan perkembangan kesihatan dirinya, sekiranya dia tidak pernah diagnosis dengan penyakit kronik dan menggunakan kad perubatan, maka keputusan menaikkan jumlah perlindungan itu boleh dikaji,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan jumlah bulanan caruman dikenakan oleh pengendali takaful, beliau memberitahu terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada situasi tersebut.
“Pertama adalah disebabkan terdapat beberapa hospital mengenakan bil perubatan terlalu tinggi pada hari ini hingga menyebabkan sesetengah daripadanya terpaksa dikeluarkan daripada senarai perlindungan.
“Keduanya, disebabkan tahap kesihatan rakyat pasca pandemik Covid-19 yang mudah dijangkiti penyakit dan ramai mendapatkan rawatan di hospital.
“Ketiganya, tabung takaful itu sendiri yang kita gelar Tabung Tabbarru’ yang semakin menyusut disebabkan dua situasi di atas. Bank Negara Malaysia menetapkan ciri-ciri (nilai) bagi tabung Tabbarru’ ini supaya setiap penyumbang menerima perkhidmatan kesihatan yang saksama.
“Jadi pihak penanggung insurans dan pengendali takaful perlu menaikkan jumlah caruman atau sumbangan bulanan dan menawarkan pilihan untuk membeli produk takaful perubatan serta kesihatan yang memenuhi keperluan kewangan serta situasi mereka,” jelasnya.














