fbpx
Isteri Afis rupanya bermadu asmara dengan bapa Afis sendiri di belakangnya apabila Afis keluar bekerja. – Gambar hiasan

‘Bapa mentua juga adalah maut!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA filem sensasi produksi negara serumpun, Indonesia berjudul Ipar Adalah Maut sedang hangat diperkatakan di media sosial, lantas Afis (bukan nama sebenar) teringat kisah lampaunya.

Bagi anak jati Melaka itu, dia terpanggil untuk berkongsi kisah hidupnya tatkala filem dari seberang itu sedang ‘panas’ di negara ini, sekali gus mengimbaunya kepada kejadian hitam dan ‘jijik’ itu.

“Sana sini Ipar Adalah Maut. Rakan-rakan di pejabat tempat saya bekerja juga tak habis-habis memperkatakan tentang filem itu.

“Cuba mengelak untuk menonton, akhirnya saya terjebak. Jujur selepas menonton, saya jadi trauma kerana teringat akan kisah lampau yang berlaku dalam hidup sekali gus merubah mahligai rumah tangga yang hampir dua tahun dibina.

“Cuma bezanya adalah apa yang berlaku bukanlah berkisarkan ipar, tetapi bapa mentua kepada bekas isteri saya. Dalam kata lain, bapa kandung saya sendiri,” ujarnya membuka kata.

Jelas Afis, perceraian berlaku disebabkan selingkuhan dan sumbang mahram yang berlaku antara isteri dan bapanya ketika dia tiada di sisi.

Mengimbas kembali, pernikahan dia dan isteri dilaksanakan atas dasar cinta antara mereka berdua selepas perkenalan lebih tiga tahun.

“Saya kenal isteri ketika sama-sama menghadiri satu majlis pernikahan kenalan di ibu kota ketika itu.

“Bermula dari situ, hubungan kami semakin rapat dan tanpa berbasi-basi akhirnya membawa kepada pernyatuan dua jiwa,” katanya.

Cerita Afis, dia memang duduk bersama bapa kandungnya yang sudah pencen hampir dua dekad lalu dalam perkhidmatan ketenteraan, lalu membawa isterinya tinggal bersama.

“Di rumah memang cuma ada ayah, saya dan seorang adik perempuan. Lepas bernikah, saya bawa isteri tinggal bersama atas persetujuan semua terutama ayah kerana itu merupakan rumahnya.

“Kebiasaannya isteri memang boleh dikatakan banyak masa di rumah kerana dia tidak bekerja tetap dan hanya berniaga online membantu menambah wang poket.

“Dia (isteri) akan keluar rumah ketika hendak menghantar barangan yang dipesan pelanggan dan itu pun bukan setiap hari.

“Ayah pula pagi hari lagi memang kebiasaan sudah hilang bersarapan di warung terdekat sebelum ke kebun mengusahakan hasil taninya.

“Begitu juga dengan adik bongsu perempuan saya yang memang jarang ada di rumah pada sebelah siang hari kerana turut bekerja sama seperti saya,” katanya.

Dijadikan cerita, selepas setahun hidup bersama, dia berhasrat untuk pindah ke kediaman baharu tidak jauh dari tempat kerja.

Pun begitu, isterinya menolak ajakan tersebut sekeras-kerasnya kerana dia kata rugi dan sudah selesa duduk di rumah sekarang bersama adik ipar dan bapa mentuanya.

Akui Afis, dia agak pelik dan sedikit curiga dengan jawapan isterinya itu kerana lebih ‘mengenali’ suri hatinya itu.

Tambah pelik dan mencurigakan, bapanya juga yang berusia lebih kurang 60 tahun turut tidak mengizinkan untuknya dan isteri berpindah kerana dia tidak mahu sunyi selepas kematian isteri sedekad lalu.

Malas mahu berfikir atau berprasangka buruk, dia cuma ikutkan kemahuan bapanya dan isterinya itu dan tidak jadi berpindah.

“Beberapa bulan selepas itu dan mungkin itulah hari yang Tuhan nak tunjuk kepada saya apa yang berlaku di belakang saya selama ini.

“Hari itu saya terpaksa pulang ke rumah pada waktu tengah hari dan hanya mampu bekerja separuh hari kerana badan tidak begitu sihat.

“Ketika sampai di rumah, saya lihat pintu dan tingkap semua tertutup rapat. Sangkaan saya isteri mungkin masih tidur dan ayah masih di kebun.

“Tatkala membuka pintu bilik kami, isteri tiada di dalamnya, tetapi saya terkejut apabila mendengar suara isteri yang sayup-sayup kedengaran dari jauh seperti sedang mengerang dari satu arah lain.

“Saya perlahan-lahan berjalan dan ketika betul-betul berada di depan pintu bilik ayah, saya dengar dengan jelas kedua-dua suara mereka yang seakan-akan sedang berasmara dan bermesra.

“Amarah memuncak bak setan merasuk diri, saya terus tendang pintu bilik beberapa kali dan terbuka. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang bapa kandung dan menantunya sedang melakukan maksiat di depan mata saya.

“Saya terkejut dan amarah tidak dapat dikawal. Saya menjerit dan maki hamun sekuat mungkin. Saya pukul, tendang dan baling apa yang ada di depan mata sampai mereka cedera,” katanya sambil beristighfar tatkala terkenangkan perkara jijik itu.

Kecewa bercampur amarah, Afis memberitahu dia terus melafazkan talak tiga kepada isterinya tanpa berfikir panjang dan lantas keluar dari rumah tersebut sambil terfikir adakah dirinya punca semuanya berlaku.

Cuba dipujuk untuk diberi penjelasan, Afis menolak dan bersumpah tidak akan memaafkan kedua-dua insan tersebut waima sampai dia meninggal dunia sekalipun.

Kerana itu sampai ke saat filem Ipar Adalah Maut ditayangkan dan menjadi buah mulut netizen, dia turut menyifatkan: “Bapa mentua juga adalah maut!”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN