along atau lintah darat sememangnya menanti peluang menjerat individu terdesak menggunakan khidmat mereka. - Gambar hiasan

Along pun kena tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kes seorang remaja berusia 15 tahun meminjam along untuk membelanja kekasihnya makan ikan siakap tiga rasa yang diterbitkan Kosmo! menjadi bualan hangat netizen.

Berita itu diambil secara meluas oleh portal-portal berita sehingga menjadi tajuk perbincangan di sesetengah medium online.

Untuk akhbar, kisah meminjam daripada ceti haram sudah biasa didengar. Ia bukan berita lagi tetapi sekiranya ia ada elemen baharu atau menarik, maka ia mempunyai nilai untuk diterbitkan.

Seperti yang kita maklum, along atau lintah darat sememangnya menanti peluang menjerat individu terdesak menggunakan khidmat mereka. Along tahu duit pinjaman tidak bertahan tetapi laba yang diperoleh daripada hasil pinjaman itu tadi yang mereka kejarkan.

Nikmat sekejap tetapi bala pula yang perlu ditanggung. Bagi yang ada kemampuan tentu akan mengatakan ‘yang pergi pinjam along tu buat apa, kan dah kena’ tetapi dia tidak akan dapat merasai apa yang orang lain rasa kerana dia belum lagi terdesak.

Kita ada juga kenal dengan beberapa individu termasuk ahli keluarga terdekat yang terjebak dengan pinjaman along. Cerita mereka hampir sama iaitu perlu duit untuk buat itu dan ini dengan kadar segera.

Berbalik kepada along, kita tahu mereka bermulut manis ketika memberi pinjaman dan akan bertindak samseng jika hutang yang dicampur dengan bunga gagal dilunaskan pada masa ditetapkan.

Simbah cat, tularkan foto di media sosial, lempar bom petrol dan ugut ahli keluarga merupakan antara kejahatan yang mereka lakukan.

Jadi along pun perlu ada etika. Walaupun sebahagian along itu kita tahu melibatkan samseng untuk mengutip hutang, tetapi mereka perlu juga melihat siapa yang datang untuk meminjam wang tersebut.

Jika budak 15 tahun kata mahu pinjam untuk belanja kekasih makan, rasanya tak perlulah diberi. Tidak ada elemen terdesak yang kita lihat di situ selain percaya remaja yang tidak lagi bersekolah tersebut hanya mahu kelihatan berduit di depan kekasihnya.

Tetapi, apakah alasan sebenar yang diberikan remaja itu agaknya ketika hendak pinjam duit. Kita rasa dia telah menipu along tersebut. Kalau tidak, masakan dia dapat meminjam daripada 12 along untuk menggali dan menutup lubang hutangnya?

Hendak kutip balik hutang satu hal, kena pula tipu dengan budak yang tidak ada pendapatan untuk membayar balik pinjaman. Bukankah itu sesuatu yang memalukan buat seluruh ‘persatuan’ along?

Cerita along ini tidak akan habis. Sejak zaman P. Ramlee lagi filem mengenai along atau ceti ini sudah dimainkan sama ada dalam bentuk lucu atau serius.

Kita ingat bagaimana babak ceti atau pemungut hutang dalam filem Do Re Mi diakal-akalkan oleh Do dan isterinya hingga duit bapa Minah habis dikerjakan untuk membayar hutang. Berpura-pura mati untuk lari daripada bayar hutang.

“I menangis bukan sebab Minah mati, I menangis sebab duit I dah banyak habis darling, tak dapat beli telebisen (televisyen).”

Dialog lucu bapa Minah lakonan Allahyarham Datuk Mahmud June itu diulang-ulang hingga ke hari ini.

Ia menunjukkan kepada kita orang terdesak itu sanggup melakukan apa sahaja. Kalau tidak pandai urus, ada duit sampai trilion ringgit pun akan habis begitu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN