PASIR MAS – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) membawa keluar seorang wanita yang merupakan pesakit kanser rahim untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas selepas kediamannya di Kampung Tasek, Rantau Panjang di sini dinaiki banjir sedalam satu meter.
Wanita berusia 58 tahun itu tidak dapat keluar ke hospital selepas laluan utama ke kampung tersebut ditenggelami banjir.
Pegawai Operasi SMART, Mejar Shahrul Nizam Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu pada pukul 10 pagi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat sepasukan anggota terus digerakkan ke lokasi untuk memberikan bantuan.
“SMART terpaksa meredah banjir sejauh tiga kilometer (km) kerana laluan masuk ke kampung itu ditenggelami banjir.
“Bukan itu sahaja, laluan sempit turut menyukarkan tugasan menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Shahrul Nizam berkata, operasi tersebut turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sejurus berjaya dibawa keluar wanita berkenaan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” ujarnya.














