fbpx
Syazwan begitu teliti dalam pembuatan joran rekaan khas yang diusahakan di rumahnya di Meru, Klang.

K2

Poksu Wan bangga jadi pembuat joran rekaan khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMBINA kerjaya yang stabil bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi apabila tidak diiringi dengan minat mendalam terhadap pekerjaan yang dilakukan.

Ia akan menyebabkan kerjaya yang dibina boleh menjadi sangat ‘rapuh’ dan boleh terhenti pada bila-bila masa sahaja.

Melihat kepada cabaran sedia ada dalam alam pekerjaan, Syazwan Sumali, 33, memilih untuk membina kerjaya dengan bekerja secara sendiri di rumahnya di Meru, Klang, Selangor sebagai pembuat batang joran rekaan khas sepenuh masa.

Syazwan yang lebih mesra disapa Poksu Wan berkata, dia sebelum ini kerap bertukar kerja sehinggalah akhirnya menceburi bidang pembuatan batang joran bertitik tolak daripada kemahirannya membaiki joran.

Kemahiran itu mula ditimbanya sekitar 10 tahun lalu apabila dia mencuba untuk membaiki sendiri batang joran miliknya yang rosak.

Sejak dari itu, selain mempunyai kerjaya sepenuh masa dia menjadikan kerja-kerja membaiki joran sebagai pendapatan sampingan.

“Ketika itu, rakan saya melihat saya membaiki batang joran dan dia kemudian meminta saya untuk turut membaiki joran miliknya yang juga sudah rosak.

“Dari situlah semakin ramai rakan meminta saya untuk baiki batang joran mereka sehingga menjana pendapatan tambahan untuk saya,” katanya.

Tambah Syazwan, disebabkan dia juga merupakan seorang ‘kaki pancing’, urusan baiki batang joran yang rosak bukanlah satu masalah besar baginya.

Ini kerana, dia sudah mengetahui asas-asas yang perlu ada pada sebatang batang joran selain kegunaan setiap batang joran yang setiap satunya memiliki peranan yang berbeza.

Menurut Syazwan, disebabkan ketika itu dia masih bekerja secara tetap di sebuah gudang penyimpanan barangan, dia hanya melakukan kerja-kerja membaiki joran secara sambilan.

Namun katanya, selepas negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020, kehidupannya bertukar menjadi sukar apabila kehilangan pekerjaan tetap.

Keadaan itu katanya, menyebabkan dia hilang punca pendapatan dan terpaksa ‘merempat’ dengan menumpang rumah sewa rakannya.

“Ketika itu, sahabat baik saya, Saufi mencabar saya untuk menceburi bidang membuat batang joran rekaan khas kerana saya sudah memiliki kemahiran membaiki batang joran.

“Ini kerana tidak ramai yang memiliki kemahiran dan menawarkan perkhidmatan tersebut di negara ini sedangkan permintaan terhadapnya tinggi dan sentiasa ada,” ujarnya.

Cerita Syazwan, memandangkan dia tidak memiliki kemahiran membuat batang joran rekaan khas tersebut, dia mengambil pendekatan mempelajarinya menerusi laman sosial YouTube.

Selepas beberapa bulan mempelajari daripada YouTube, percubaannya untuk menghasilkan batang joran rekaan khas akhirnya menjadi.

Malah, dia turut menerima banyak tempahan daripada rakan-rakan kaki pancing yang turut berkeinginan untuk memiliki joran rekaan khas.

ANTARA hasil kerja yang dilakukan oleh Paksu Wan.

“Bermula dari situlah, kehidupan saya mula berubah, daripada membaiki batang joran secara sambilan kepada memiliki kerjaya tetap dengan menawarkan perkhidmatan membuat batang joran rekaan khas sepenuh masa.

“Saya juga mendapat sokongan daripada ahli keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik yang turut membantu menyediakan ruang di tepi rumah untuk dijadikan bengkel.

“Malah, saya juga berterima kasih kepada abang dan seorang sahabat saya, Amir yang turut menawarkan bantuan modal untuk saya memulakan perniagaan saya ini,” katanya.

Mengenai kerja-kerja membuat batang joran rekaan khas itu, Syazwan memberitahu, kebiasaannya dia akan membuatnya berdasarkan spesifikasi yang diinginkan oleh pelanggannya.

Bagi mendapatkan hasil memuaskan, dia akan menggunakan barangan yang berkualiti tinggi sahaja agar pelanggan merasa berbaloi dengan wang dibayar.

“Untuk cincin joran atau ‘guide’ dan tapak mesin pancing atau ‘reel seat’, saya akan menggunakan jenama Fuji kerana ia memiliki ketahanan tinggi selain turut digunakan untuk joran berkualiti yang dijual di pasaran.

“Bagi batang joran atau ‘blank’ pula, saya akan gunakan batang berketahanan tinggi daripada beberapa jenama seperti North Fork, Rexter V2, Storm Breaker, Lela Strike dan Torayca Matrix.

“Untuk membuat hulu joran pula, biasanya saya akan menggunakan kayu pine merah dan gabus yang diperbuat daripada kulit kayu berkualiti tinggi.

“Kesemua peralatan tersebut akan dibeli dari luar negara secara berasingan sebelum digabungkan menjadi sebatang joran rekaan khas,” ujarnya.

Jelas Syazwan, disebabkan kesemua bahan yang digunakan adalah daripada bahan berkualiti tinggi, maka harga bagi setiap joran rekaan khas dijual pada harga bermula RM850 dan ke atas.

Walaupun harganya agak tinggi, namun dia tidak pernah mendapat rungutan daripada pelanggan kerana ia bersesuaian dengan kualiti joran rekaan khas yang dihasilkan.

Malah jelasnya, setiap joran yang dihasilkan adalah berbeza antara satu sama lain dan mempunyai spesifikasi yang tersendiri dan tidak sama seperti joran yang sedia dijual di kedai.

Katanya, disebabkan dia sangat teliti dalam kerjanya itu, dia hanya mampu menyiapkan antara lima hingga lapan batang joran rekaan khas setiap bulan.

Kongsi Syazwan, kerjayanya itu mampu menjana pendapatan sekitar RM5,000 sebulan pada masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN