MUZIUM seni menawarkan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan, kesenian dan evolusi sosial di sesuatu kawasan.
Ini bertepatan dengan kewujudan Ur-Mu@Toffee yang terletak di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Ur-Mu yang merupakan singkatan kepada Urban Museum terletak di dalam The Toffee iaitu sebuah bangunan art deco setinggi tujuh tingkat. Uniknya, bangunan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman pada era 1950 an.
Muzium seni kontemporari persendirian itu merupakan milik arkitek, profesor dan penerbit terkenal tanah air iaitu Dr. Tan Loke Mun.
Kunjungan para media disambut oleh peguam yang juga pengumpul koleksi seni, Pakhruddin Sulaiman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ha.
Koleksi Pak Ha yang bertajuk Tubuh: Selected Works from the Pakhruddin Sulaiman Collection terletak di tingkat enam bangunan tersebut.
Menurut Pak Ha, pamerannya menghimpunkan hampir 100 karya seni kiasan yang dihasilkan pada tahun 1990-an dan awal 2000-an.
“Saya memilih untuk memaparkan koleksi yang memiliki nilai-nilai intelektual dan menggambarkan pemikiran karyawan sejajar dengan waktu karya ini dibuat.
“Ia berfungsi sebagai platform wacana sosial, agama, politik dan budaya, sama ada dalam negara dan di pentas global,” katanya.
Sebaik sahaja memasuki galeri, pengunjung akan terpegun melihat arca dan lukisan berskala besar hasil karyawan, Mad Anuar Ismail.
Arca ‘penunggang ribut’ tersebut turut dipadankan dengan lukisan besar menerusi tema semangat keluli dan ketahanan manusia.
Seterusnya, karyawan Jalaini Abdul Hasan menonjolkan tema penerokaan perjuangan dalaman seseorang individu.
Lukisan-lukisan yang dihasilkan dengan menggunakan arang dan bitumen itu mempamerkan kemahiran Jalaini dalam membangkitkan emosi penatap karya tersebut.
Di bawah tema naratif abadi, lukisan self-portrait milik Ahmad Fuad Osman diinspirasikan daripada tempoh Reformasi pada lewat 1990-an.

Tidak ketinggalan juga, karya Anurendra Jegadeva yang unik dalam menggunakan barangan harian bagi menterjemahkan pandangan sosiopolitik.
Tambah Pak Ha, tanpa pembukaan muzium seni itu, karya-karya tersebut berisiko untuk hilang ditelan zaman dan tidak dihargai.
“Sebagai pengumpul koleksi seni, saya percaya dengan tanggungjawab untuk berkongsi koleksi kami dengan orang ramai.
“Sekiranya tidak dipamerkan sebegini, kita telah menafikan peluang masyarakat untuk menikmati karya-karya berkualiti seperti ini,” katanya.
Selesai melihat hasil seni dengan mesej berat, pengunjung boleh turun ke tingkat lima untuk menghayati koleksi Loke Mun.
Koleksi Loke Mun memiliki tema kontemporari dan eksentrik, sekali gus memberikan rasa kontras dengan koleksi Pakhruddin.
Karya seni unit beruniform negara yang dihasilkan menggunakan tanah oleh Red Hong Yi itu turut dipamerkan di tingkat lima.
Menurut pengurus galeri, Fairuza Fadzil, cawangan Ur-Mu kedua dibuka selepas sambutan positif terhadap Ur-Mu pertama di Bukit Bintang.
“Maklum balas pengunjung positif dan mereka benar-benar mahu melihat lebih banyak karya-karya tempatan.
“Kami juga telah membuka Ur-Mu ketiga di Jalan Tun HS Lee yang menampilkan koleksi arkitek dan pengumpul, Ng Sek San,” katanya.














