fbpx
Ada dalam kalangan orang dewasa juga menganggap mati sebagai jalan penyelesaian segala masalah. - GAMBAR HIASAN

Elak statistik ‘jatuh mati’ melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INSIDEN kematian seorang pelajar perempuan tingkatan satu yang jatuh dari bangunan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada Oktober lalu masih diperkatakan ramai.

Diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) selain tiada unsur jenayah, remaja berusia 13 tahun itu sempat berkongsi video berupa ucapan selamat tinggal.

Orang tua mana yang sedia berdepan kenyataan anak mereka pergi dalam keadaan tragis ketika tiada satu pun petanda menunjukkan depresi atau dibuli bahkan sikapnya ceria seperti biasa sahaja.

Sebelum itu, sekitar Jun 2024 seorang remaja lelaki dipercayai jatuh dari tingkat lima sebuah sekolah menengah di Kajang, namun sempat dikejarkan ke hospital.

Begitupun akibat cedera parah di kepala, mangsa meninggal dunia sehari kemudian yang turut mengejutkan masyarakat kerana tiada punca jelas berhubung kematian tersebut.

Bulan yang sama juga seorang pelajar berumur 16 tahun didakwa terjun dari tingkat 20 bangunan sebuah pusat beli belah di Setapak, juga tidak diketahui sebab kejadian.

Melihat tiga tragedi menyedihkan ini, serta statistik tahun terdahulu yang menakutkan diharap sebagai wake-up call agar semua pihak bersatu menangani situasi sebegini dari peringkat sekolah lagi.

Sudah pasti ibu bapa adalah insan paling terkesan, tetapi adakah mereka perlu dipersalahkan kerana tidak cakna terhadap perubahan si anak atau kesilapan harus dituding kepada pihak sekolah atas alasan kurang peka dengan keselamatan pelajar.

Tidak perlu menyalahkan sesiapa dalam hal ini sebaliknya usaha bersama-sama dari akar umbi mampu menyuntik pemahaman serta kesedaran dalam kalangan golongan muda ini.

Kekuatan dalaman juga menjadi faktor penguat jiwa insan agar tidak mudah digoda syaitan untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan diri.

Semua agama pun tidak menyokong tindakan mengambil nyawa sendiri atau bahasa kasarnya menbunuh diri biar atas alasan apa sekalipun.

Namun lagikan ada dalam kalangan orang dewasa juga menganggap mati sebagai jalan penyelesaian segala masalah, inikan pula anak hingusan yang baru mengenal dunia.

Di situlah pentingnya pembabitan kaunselor rakan sebaya di sekolah kerana kebiasaannya anak muda lebih selesa berkongsi cerita dengan golongan seusia mereka.

Pakar Runding Psikiatri dan Penagihan Universiti Mahsa, Mohamad Hussain Habil, menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) memperbanyakkan lagi pusat kaunseling di sekolah selain kerap adakan kempen turun padang.

Katanya, latihan untuk kaunselor dalam kalangan guru serta pembimbing rakan sebaya perlu dimantapkan kerana kebanyakan kaunselor sekolah tidak begitu terdedah tentang kaedah pengendalian remaja kemurungan.

“Program latihan bersepadu dalam membimbing guru diharap membolehkan mereka kenal pasti selain beri kaunseling bersesuaian atau rujuk kepada pakar jika membabitkan isi serius.

“Menyebarkan maklumat berkenaan isu dengan turun padang juga mampu menyuntik kesedaran agar kita tidak mudah terbawa-bawa perasaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN