DAGING lembu atau kerbau merupakan sumber protein penting yang menyokong keperluan asid amino serta mikronutrien bagi pemakanan serta kesihatan manusia.
Pada 2005, penggunaan daging lembu dan kerbau di Malaysia berjumlah 138,980 tan metrik berbanding 244,801 tan metrik pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 76 peratus.
Ini mencerminkan kadar peningkatan purata sebanyak 4.47 peratus setiap tahun. Jumlah penggunaan daging sesebuah negara secara lazimnya adalah berkadar terus dengan peningkatan populasi dan pendapatan rakyat.
Sementara bekalan tempatan untuk kedua-dua jenis daging tersebut mengalami penurunan.
Hasilnya, kadar sara diri telah berkurangan dari 23.6 peratus pada tahun 2015 menjadi 14.7 peratus pada tahun 2022. Ini bermakna, sebanyak 85.3 peratus keperluan daging lembu dan kerbau di negara ini perlu diimport.
Secara terperinci, trend populasi lembu dan kerbau menunjukkan penurunan dari 914,548 ekor pada tahun 2005, kepada 801,614 ekor pada 2022.
Ini bermakna, antara tahun 2005 hingga 2022, negara telah mengalami pengucupan ternakan sebanyak 12.35 peratus. Penurunan populasi ternakan boleh juga dikaitkan dengan kadar penyembelihan yang tinggi, di mana pada tahun 2015, daripada 149,174 ekor lembu dan kerbau yang disembelih, 45.6 peratus adalah sumber tempatan.
Namun pada tahun 2022, dari 125,313 ekor yang disembelih, sebanyak 90.1 peratus diperoleh daripada sumber tempatan. Kenaikan peratus ternakan yang disembelih daripada sumber ternakan tempatan akan menggugat kestabilan ternakan.
Kajian telah menunjukkan bahawa jika jumlah penyembelihan, penyingkiran serta kematian lembu dan kerbau setiap tahun melebihi jumlah penggantian melalui kelahiran atau tambahan ternakan baharu import, maka akan berlaku pengurangan populasi ternakan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah melaksanakan pelbagai program serta inisiatif. Ia bagi mempertingkatkan dan memperkembangkan pengeluaran lembu serta kerbau secara tempatan, namun usaha-usaha setakat ini masih kurang berkesan.
Sudah sampai masanya kita memikirkan pendekatan yang berkesan serta berfokus kepada strategi-strategi yang boleh membina populasi ternakan.
Dengan kata lain meningkatkan populasi bibit atau lembu pembiak.
Apabila berlaku penambahan bilangan lembu pembiak yang tinggi, maka lebih banyak anak lembu boleh dihasilkan. Dengan ini, penggandaan populasi ternakan akan berlaku.
Kawasan yang luas diperlukan untuk memperkembangkan aktiviti pembiakan dan menambahkan populasi ternakan.
Malaysia tidak mempunyai kawasan ragutan yang luas seperti di Australia, tetapi memiliki tanaman kelapa sawit seluas 5.85 juta hektar. Sebahagiannya, 12.6 peratus telah digunakan untuk menternak lembu.
Beberapa syarikat serta pengusaha-pengusaha persendirian sedang mengusahakan perladangan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit.
Jika kita boleh tambahkan lagi kawasan seluas 750,000 hektar (anggaran peningkatan 13 peratus) untuk menternak lembu di ladang kelapa sawit, maka kita boleh tambahkan bilangan ternakan sebanyak 187,500 ekor. Ini berdasarkan nisbah 1 ekor induk untuk 4 hektar).

Ia juga berpotensi menambah pengeluaran daging berjumlah 10,416 tan metrik (dengan andaian 18 induk boleh menghasilkan 1 tan metrik daging berdasarkan kadar kelahiran 56 peratus dengan tambahan sembelihan 20 peratus daripada induk diasing singkir dan 20 peratus daripada anak betina).
Ini sudah tentu memerlukan penyertaan syarikat-syarikat besar untuk melabur di dalam industri.
Hal ini kerana, syarikat-syarikat perladangan swasta dan senaraian awam memiliki lebih daripada 50 peratus keseluruhan kawasan tanaman kelapa sawit di negara ini.
Secara lazimnya, syarikat-syarikat ini menyatakan bahawa mereka tiada kepakaran untuk menceburi bidang ternakan serta pulangan yang rendah.
Untuk menarik minat syarikat-syarikat tersebut, tiga pendekatan boleh disyorkan bagi mengatasi kekangan yang dihadapi mereka.
Antaranya, mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat yang berjaya untuk mengusahakan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit.
Selain itu, melantik syarikat yang berjaya untuk menguruskan atau mengendalikan bisnes integrasi ternakan lembu dengan kelapa sawit.
Syarikat terlibat juga boleh menyewakan kawasan kepada koperasi penternak lembu setempat.
Di samping itu, kerajaan boleh membantu menyediakan insentif percukaian tambahan kepada syarikat yang terlibat di dalam pelaburan ini.
Paling penting adalah sebuah polisi diwujudkan untuk setiap syarikat perladangan kelapa sawit mengenal pasti dan menyediakan 20-25 peratus daripada kawasan tanaman kelapa sawit untuk penternakan lembu.
Integrasi ternakan dengan tanaman kelapa sawit dapat juga mengurangkan penggunaan racun (15 hingga 40 peratus) untuk meracun rumpai kerana ternakan lembu dapat meragut sebahagian daripada rumpai tersebut.
Bukan itu saja, pengurangan penggunaan racun dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Selain itu, usaha perlu diambil untuk mengatasi penyembelihan lembu betina yang produktif. Antara sebab lembu produktif disembelih adalah untuk menambah pendapatan atau bilangan ternakan dipelihara tidak dapat ditampung oleh kawasan meragut.
Sudah ada peruntukan undang-undang di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang melarang penyembelihan untuk mengurangkan ketirisan induk ternakan.
Strategi-strategi ini boleh dijayakan jika pendekatan bersepadu dilakukan oleh kerajaan dan pihak swasta.
Dengan usaha-usaha yang berfokus ini, kita dapat mempertingkatkan kadar sara diri untuk bekalan daging lembu dan kerbau.














