PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam mengharapkan kerajaan dapat meneruskan pemberian bantuan khas penjawat awam atau ‘bonus’ menjelang hujung tahun ini sebagai persiapan untuk pembukaan sekolah dan sambutan Aidilfitri.
Bagi kakitangan swasta pula, mereka berharap agar kerajaan dapat meningkatkan had pelepasan cukai dan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi meringankan beban ibu bapa.
Menurut seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Firdaus, 45, meskipun kerajaaan bakal melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan meningkatkan gaji kakitangan awam antara tujuh hingga 15 peratus, namun pemberian bantuan khas amat ditagih.
Ini kerana kata bapa kepada lima cahaya mata itu, bantuan khas atau lebih dikenali sebagai ‘bonus’ sangat dinantikan-nantikan oleh penjawat awam setiap kali pembentangan belanjawan.
“Biasanya dengan duit bantuan inilah kami akan gunakan untuk persiapan sekolah dan persiapan hari raya. Kebetulan pula, sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Februari.
“Ia kemudiannya diikuti bulan Ramadan pada awal Mac dan Hari Raya Aidilfitri pada bulan yang sama. Tempoh sebulan yang singkat ini pasti akan memberi kesulitan dan tekanan terutamanya kepada mereka yang mempunyai ramai anak seperti saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Firdaus yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, sekiranya kerajaan dapat meneruskan bantuan khas kewangan seperti tahun-tahun sebelum ini, ia amat melegakan penjawat awam yang bergaji sederhana tetapi tinggal di ibu kota dan mempunyai anak ramai sepertinya.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, harapan sebahagian besar kakitangan swasta sepertinya adalah supaya kerajaan dapat meningkatkan had pelepasan cukai pada pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini.
Jelasnya, dengan meningkatkan had pelepasan cukai tersebut, lebihan daripada gaji yang diperolehi itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kos sara hidup di ibu kota serta kesan kenaikan harga barang semasa.
“Walaupun saya dikategorikan sebagai M40, namun jika dihitungkan dengan kos perbelanjaan di ibu kota ini, gaji saya umpama B40 atau kurang lagi jika dibandingkan dengan tinggal di negeri lain.
“Sebagai contoh sewa rumah di sini (Kuala Lumpur) antara RM1,000 hingga RM1,500, kos taska anak pun mahal, kalau bayi pula kos jagaan sekitar RM600 sebulan.
“Itu belum masuk barang dapur, duit sekolah anak, keperluan bayi, kos minyak, tol, dan parkir untuk ulang-alik ke tempat kerja. Gaji sahaja M40 tetapi hakikatnya kami B40,” luah bapa tiga anak itu.
Selain pelepasan cukai, katanya, dia juga berharap agar kerajaan dapat meneruskan pemberian BAP kepada semua pelajar untuk sesi persekolahan tahun hadapan.
Dalam pada itu, bagi seorang petani dikenali sebagai Afnan, 34, yang tinggal di sebuah kampung di Kuala Krai, Kelantan mengharapkan kerajaan dapat meningkatkan dan menstabilkan harga getah dan kelapa sawit.
Ujar Afnan, ramai penoreh dan pekebun sawit mengeluh kerana kedua-dua komoditi itu terutamanya getah skrap sentiasa berubah mengikut musim.
“Malah ada kebun di kampung saya tiada yang mahu menoreh kerana harga getah kadang-kadang terlalu murah sedangkan semua barang terutamanya makanan meningkat berlipat kali ganda.
“Sekiranya kerajaan dapat meningkatkan harga lantai getah mungkin RM4 sekilogram (yang sebelum ini RM3 sekilogram menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), saya yakin ramai anak muda seperti saya sanggup duduk kampung menoreh dan mengusahakan kebun kelapa sawit berbanding berhjirah ke bandar untuk mencari kerja lain,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














