fbpx
BARJOYAI berharap, kerajaan dapat memperbaiki struktur ekonomi dalam usaha merapatkan jurang antara golongan kaya, sederhana dan miskin di negara ini.

‘Pekerja syarikat kecil masih berasa sengsara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAJET 2025 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi Madani.

Kerangka tersebut melonjakkan pertumbuhan negara, sekali gus menjunjung prinsip manusiawi untuk mengangkat darjat rakyat.

Dijangka pada bajet kali ini, banyak pembaikan struktur ekonomi diperkenalkan bagi memastikan pertumbuhan lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat.

Menjelang pengumuman itu, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual pakar ekonomi yang juga merupakan Dekan Institut Lepasan Ijazah, Universiti Sains dan Teknologi

Malaysia (MUST), Prof. Dr. Barjoyai Bardai di pejabatnya baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan situasi ekonomi negara.

Kosmo! Ahad: Memasuki suku ketiga pada tahun ini, bagaimana Prof. melihat prestasi ekonomi negara. Banyak laporan asing mengatakan bahawa ekonomi negara semakin baik, adakah benar?
Prof. Dr. Barjoyai Bardai: Memang benar, ekonomi negara kita sedang mengalami pemulihan yang pesat dan sedang meluncur naik menuju puncak.

Dijangkakan kita akan mencapai puncak dalam pusingan ekonomi lingkungan tahun 2026.

Sehingga tahun 2026, kita menjangkakan ekonomi kita akan semakin baik.

Pada tahun ini, kita jangkakan pertumbuhan akan melebihi 5.5 peratus, mungkin sampai 6 peratus.

Dunia juga beberapa hari lepas menyatakan bahawa mereka telah memperbaharui ramalan daripada 4.3 peratus kepada 4.9 peratus.

Dari segi guna tenaga, kadar pengangguran masih terkawal iaitu sekitar 3.3 peratus dan inflasi kurang daripada 2 peratus.

Kadar pertukaran ringgit dengan dolar Amerika yang meningkat baru-baru ini membantu dalam memberikan harapan baharu, sentimen positif dan juga keyakinan kepada pelabur asing.

Jadi, secara keseluruhan kita melihat ekonomi negara akan menjadi lebih baik, insya-Allah

Ringgit juga lihat semakin kukuh. Apakah punca kepada pengukuhan ringgit ini? Adakah ia akan kekal untuk jangka masa panjang?
Pengukuhan ringgit ini adalah sesuatu yang dianggap bermusim atau sementara kerana kita membandingkan kadar pertukaran dengan Amerika Syarikat (AS).

Selama ini, kadar pertukaran dengan AS lemah kerana berasas pada teori ‘Interest Sparity’. Ini bermakna, kadar faedah di AS adalah lebih tinggi, 5.25 peratus berbanding 3 peratus di Malaysia.

Namun sejak Oktober, kita lihat AS menurunkan kadar faedahnya secara beransur-ansur.

Dijangkakan pada tahun depan, AS juga akan mencapai tahap 3 peratus. Apabila tahap faedah kita sama dengan AS, mata wang kita akan menjadi lebih kukuh daripada AS.

Malangnya, prestasi baik ekonomi dan ringgit tidak dapat dirasai oleh masyarakat di bawah yang masih terhimpit dengan kos sara hidup? Mengapakah perkara ini berlaku?
Ya, sebenarnya masalah kita adalah masalah struktur ekonomi. Kita perlu menstrukturkan ekonomi kerana berlaku jurang yang sangat besar antara orang kaya, miskin dan sederhana.

Di Malaysia, kita ada kira-kira 10,000 syarikat yang dianggap syarikat besar dan kebanyakan mereka menguasai ekonomi negara. Mereka menguasai hampir 65 peratus daripada Keluaran Dalam

Negara Kasar (KDNK) kita, sedangkan ada lebih satu juta syarikat di Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Walaupun jumlahnya besar, namun sumbangan perniagaan PKS ini kurang daripada 35 peratus daripada KDNK. Tambah menyulitkan, syarikat PKS yang menyumbang 35 peratus ini juga menjadi majikan kepada lebih 65 peratus pekerja.

Jadi, pekerja-pekerja di Malaysia kebanyakannya bekerja dengan syarikat PKS, sedangkan hanya kurang dari 30 peratus yang bekerja dengan syarikat besar.

Oleh itu, walaupun syarikat-syarikat besar ini menawarkan gaji sangat tinggi, bilangan yang merasa sangat sedikit.

Sedangkan syarikat PKS tidak memberikan bonus, ada yang tidak menaikkan gaji, ada yang tidak memberi increment pun. Ini menyebabkan pekerja-pekerja dalam syarikat PKS berasa sengsara.

Ini merupakan masalah struktur dan perlu diperbaiki.

Cara memperbaikinya adalah mengubah tumpuan kepada syarikat-syarikat berkenaan.

USAHA merasionalisasikan subsidi petrol dijangka lebih rumit berbanding diesel sebelum ini.
– Gambar hiasan

Perbelanjaan mengurus kerajaan dijangka meningkat seiring pertambahan gaji sektor awam dalam Bajet 2025. Adakah ini akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan yang lain?

Tahun 2024, kerajaan telah mengumumkan belanjawan lebih RM300 bilion termasuk RM70 bilion perbelanjaan pembangunan.

Peningkatan gaji kakitangan awam sebenarnya tidak melibatkan begitu banyak kerana setiap tahun lebih kurang RM90 bilion dibelanjakan untuk gaji atau biaya pekerja.

Jadi, kita tidak menjangkakan perbelanjaan kerajaan meningkat begitu banyak tetapi ia akan memberi sumbangan besar kerana apabila gaji kakitangan kerajaan meningkat, ia menjadikan pendapatan bawa pulang lebih besar.

Ini memberikan kuasa beli kepada pengguna. Apabila pembeli membuat penggunaan, maka ia akan meningkatkan permintaan berkesan dan KDNK negara.

Berdasarkan keadaan semasa ketika ini, apakah yang boleh kita jangkakan dalam Bajet 2025?
Bajet 2025 akan menjadi satu belanjawan yang kritikal kerana ekonomi sedang melonjak dan sentimennya positif.

Kerajaan kalau boleh tidak mahu mengubah ini.

Kerajaan memang memerlukan tambahan pendapatan, misalnya mereka merancang untuk meningkatkan cukai, tapi ini bukan masa yang sesuai untuk mengumumkan cukai baharu dan sebagainya. Ini kerana, ia mungkin mengubah persepsi dan keyakinan pelabur-pelabur.

Contohnya, kerajaan didesak untuk kembali semula kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Namun, GST telah dilaksanakan selama empat tahun dan dibuktikan memberikan sentimen negatif kerana pengguna merasa tertekan selepas membayar tambahan belian. Sebenarnya, GST dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kesannya sama.

Selain itu, apakah cukai-cukai baharu yang boleh diperkenalkan dalam Bajet 2025 dalam usaha meningkatkan kantung kerajaan?
Kita memang perlu meningkatkan pendapatan daripada hasil cukai kerana ketika ini hanya 12 peratus daripada KDNK.

Berbanding dengan negara jiran kita, ia mencecah 15 peratus. Di negara maju pula mencecah lebih 20 peratus.

Saya rasa, ada cadangan untuk melaksanakan beberapa cukai-cukai ke atas pembelian barang-barang mewah.

Kita juga sebenarnya akan memulakan cukai ke atas keuntungan modal pada tahun 2025 yang berkait dengan urus niaga internet dan sebagainya.

Adakah usaha merasionalkan subsidi akan terus dipergiatkan menerusi Bajet 2025 termasuk menghapuskan subsidi petrol?
Kita telah menjadi sangat berjaya dalam usaha menghapuskan subsidi diesel dan dijangkakan dapat menjimatkan sekitar RM30 bilion. Ini kerana, salah guna subsidi dalam bentuk penyeludupan, jualan dan sebagainya.

Namun, kalau kita hendak melaksanakan penghapusan subsidi petrol, kita perlu lebih berhati-hati.

Pertamanya, kita tidak boleh menjangka untuk membuat penjimatan seperti diesel kerana kegiatan salah guna dalam penggunaan petrol jauh lebih kecil.

Keduanya, hampir semua rakyat Malaysia menggunakan petrol setiap hari kerana mereka ada kenderaan dan sebagainya. Jadi, kalau kita hendak memberikan subsidi kepada kumpulan pengguna, ia mungkin melibatkan lebih 2 juta pengguna.

Ini akan menjadi lebih rumit berbanding dengan diesel. Mungkin kita tidak perlu pun untuk menghapuskan subsidi petrol, biarpun kerajaan selalu menguar-uarkan tidak mahu memberi subsidi kepada orang kaya.

Sebenarnya, orang kaya ada T10 dan T20, di mana 10 di tengah itu sebenarnya mereka bukan kaya pun.

Ramai isi rumah mempunyai pendapatan gabungan berjumlah RM11,000 dan mereka sebenarnya hanya kumpulan berpendapatan sederhana. Saya mahu menekankan bahawa kerajaan perlu mula memikirkan bagaimana hendak mewujudkan satu belanjawan yang lebih berasaskan kepada kesan atau output, berbanding berasaskan apa dibelanjakan.

Kita sepatutnya melihat kepada kesan, contohnya kalau kita hendak memberi subsidi kepada 10 juta orang, maka kita perlu melihat kesannya.

Kita juga boleh cuba melaksanakan bajet yang dipanggil belanjawan putaran atau dipanggil rolling budget.

Dalam belanjawan putaran ini, kita tidak melakukan semuanya sekali dalam satu tahun, tapi kita melakukannya secara berterusan setiap bulan.

Contohnya sekarang ini, kalau kita hendak mengumumkan kenaikan cukai langsung, cukai tidak langsung dan sebagainya, ia akan dilihat negatif oleh pengguna.

Jadi, kita boleh melakukannya secara beransur-ansur. Sebagai contoh, umumkan dahulu kenaikan subsidi, dan kemudiannya selepas tiga bulan, kita umumkan kenaikan cukai.

Selain itu, kerajaan juga dijangka akan memberi subsidi secara bersasar dalam sektor pendidikan. Bagaimana pendapat Prof. terhadap cadangan ini?
Itu satu cadangan yang baik. Sebenarnya, Malaysia telah diiktiraf negara membangun yang memberikan pendidikan percuma dari peringkat rendah ke menengah tinggi.

Cuma masalahnya sekarang, kita cuba mencapai tahap yang menawarkan pendidikan percuma sehingga ke universiti dan ini memerlukanlah satu jumlah belanjawan sangat besar kerana kita mempunyai 21 universiti awam.

Kalau setiap satu universiti awam berbelanja RM2 bilion, bermakna ada RM40 bilion yang perlu disediakan.

Namun, saya melihat ia boleh dicapai kerana kita ada universiti swasta yang boleh mengimbangi universiti awam. Jika ini boleh dilaksanakan, kita sebenarnya tidak perlu menghapuskan subsidi ke atas pendidikan.

Cadangan Perdana Menteri untuk tidak memberikan kemudahan kepada keluarga yang kaya untuk memasuki kolej atau Maktab Rendah Sains Mara perlu dikaji semula.

Kita mahu menonjolkan keupayaan Malaysia memberikan pendidikan percuma kepada pelajar asrama penuh, MRSM, matrikulasi serta program asasi melibatkan kurang 40,000 orang setahun. Ia melibatkan kos tidak sampai RM400 juta.

Jadi saya rasa, kalau kita boleh terus memberikan subsidi kepada program ini, kesan keseluruhannya akan lebih positif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN