fbpx
NABIL tertekan setelah dua bisnes yang diusahakan gagal. – Gambar hiasan

Hampir bercerai kerana minat berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI kaya amat didambakan seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Nabil. Dia sudah penat bekerja makan gaji dan pendapatan yang diterimanya juga tidak besar.

“Lebih 15 tahun saya bekerja dalam sektor swasta dan pendapatan yang diterima boleh dikatakan cukup-cukup makan sahaja.

“Kadangkala saya bosan dengan hidup saya di mana banyak keinginan saya tidak dapat dipenuhi kerana tiada wang yang banyak,” katanya mengimbas pengalaman lampau yang pernah dilaluinya kepada Panorama.

Nabil sebenarnya mempunyai keinginan untuk berniaga sendiri kerana percaya itu adalah satu jalan yang boleh membuatnya menjadi kaya. Malah, dia melihat ramai yang mengusahakan perniagaan sendiri kaya-raya dan mampu membeli apa sahaja yang dimahukan mereka.

Nabil berkata, di media sosial, dia melihat ramai usahawan muda yang berjaya mengusahakan perniagaan dengan mengeluarkan produk sendiri.

Ada usahawan yang boleh memandu kereta mewah dan membeli rumah yang besar hasil daripada perniagaan yang mereka usahakan.

Justeru, Nabil juga mempunyai niat untuk mengeluarkan produk sendiri dan mengubah hidup keluarganya agar lebih senang.

“Pada ketika itu, saya tidak lagi mempunyai semangat untuk bekerja dengan orang dan melakukan perkara yang sama setiap hari.

“Akhirnya setelah berbincang dengan isteri, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan saya sendiri.

“Pada mulanya isteri menghalang saya untuk berbuat demikian tetapi setelah saya menerangkan segala perancangan saya kepadanya dia akhirnya bersetuju,” terangnya.

Sebelum berhenti kerja, Nabil ada mengikuti kelas-kelas yang memberi bimbingan untuk para usahawan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Dengan simpanan yang ada, Nabil mula membuat produknya sendiri yang berkaitan minuman.

Baginya, untuk menghasilkan produk sendiri bukanlah sesuatu yang terlalu sukar kerana banyak syarikat OEM yang menyediakan perkhidmatan menghasilkan produk bagi para usahawan.

“Menghasilkan produk sendiri bukanlah sukar, apa yang sukar adalah untuk menjualnya.

Mengusahakan perniagaan banyak cabarannya dan tidak semestinya membuahkan kejayaan sebagaimana orang lain. – Gambar hiasan

“Pada mulanya saya ingin menggunakan sistem ejen tetapi tidak mendapat sambutan, kemudian saya menurunkan sedikit harga dan menjualnya sendiri.

“Ternyata sukar untuk saya menjualnya sendiri. Apa yang boleh saya katakan perniagaan yang saya usahakan itu gagal dan saya tidak mendapat keuntungan,” katanya.

Hampir setahun dia cuba untuk memajukan perniagaannya itu tetapi Nabil berhadapan dengan kegagalan dan produk yang dihasilkan olehnya tidak mendapat sambutan.

Nabil mengakui, dia amat tertekan sepanjang tempoh itu kerana perniagaan yang diusahakan tidak berjaya seperti yang diimpikan.

Nabil akhirnya, mengambil keputusan untuk menutup perniagaan tersebut dan cuba menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan makanan pula.

Dia mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai makanan meskipun tiada pengalaman untuk menguruskannya.

Sekali lagi usaha yang dilakukannya itu berhadapan dengan kegagalan dan kedai makanan yang diusahakan olehnya tidak mendapat sambutan sepertimana yang diharapkan.

Akhirnya, setelah enam bulan beroperasi dia terpaksa menutup perniagaan tersebut kerana kos operasi lebih tinggi daripada keuntungan.

“Baru saya sedar untuk mengusahakan perniagaan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah dan banyak cabaran yang harus ditempuh.

“Angkara keputusan saya yang berhenti kerja semata-mata untuk berniaga sendiri juga hampir menyebabkan rumah tangga berantakan kerana masalah kewangan.

“Akhirnya saya sedar akan kesilapan dan mendengar nasihat isteri untuk berhenti berniaga dan mencari kerja lain yang boleh memberikan pendapatan tetap kepada saya setiap bulan,” jelas Nabil.

Malah Nabil juga menitipkan pesan kepada mereka di luar sana supaya jangan terburu-buru berhenti kerja semata-mata ingin berniaga sendiri.

Mereka boleh jadikan kisahnya sebagai satu pengajaran kerana tidak semua perniagaan boleh berjaya dengan mudah dan membuatkan seseorang itu menjadi kaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN