fbpx
JUN HAO terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Kejohanan Badminton Kumamoto Masters, Jepun.

Gagal kekal momentum punca balik awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SITUASI sama terus menimpa perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic yang berlangsung di Vantaa, Finland semalam.

Pemain No. 29 dunia itu terpaksa akur tidak dapat meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila tewas straight set 19-21, 9-21 kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dalam tempoh 44 minit.

Keputusan itu menyaksikan Jun Hao gagal melepasi pusingan awal dalam lima kejohanan berturut-turut termasuk Terbuka China (pusingan pertama), Terbuka Hong Kong (pusingan kedua), Terbuka Korea (pusingan pertama) dan Terbuka Jepun (pusingan kedua).

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran berkata, anak buahnya itu memulakan aksi kelmarin dengan langkah kanan apabila bermain cukup baik, namun gagal untuk mengekalkan momentum serta strategi yang ditetapkan.

“Leong (Jun Hao) memulakan perlawanan dengan baik menerusi strategi yang dibuat tetapi dia tidak dapat mengekalkannya dan menyebabkan Cheuk Yiu mengambil kesempatan memenangi set pertama.

“Memasuki set kedua, Cheuk Yiu mengawal sepenuhnya permainan dan itu masalah terbesar. Saya sudah berbincang dengan Leong dan dia faham, jadi kami perlu buat kerja mengenai perkara ini sebelum ke Terbuka Denmark,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menganggap tahap permainan semua pemain perseorangan ketika ini hampir sama dan pemenang hanya ditentukan menerusi siapa yang lebih bersedia dari segi mental dan fizikal di dalam gelanggang.

“Sekarang tahap permainan semua pemain lebih kurang sama, hanya sesiapa yang lebih bersedia dan mampu mengeluarkan permainan sendiri akan menang. Saya yakin Leong akan kembali dengan aksi lebih positif,” ujar Yogendran.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Jun Hao musim ini adalah melangkah ke suku akhir dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka Indonesia, Terbuka Singapura dan Sepanyol Masters.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN