PETALING JAYA – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersedia memberi kerjasama kepada majlis agama negeri yang lain dalam menyalurkan maklumat berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya mempunyai banyak maklumat hasil risikan sejak 2016 serta pendedahan daripada bekas pengikut kumpulan.
“Sekarang ini pegawai MAIS ke Sabah berkongsi maklumat, kita bukan nak fitnah mereka (GISBH), tetapi sekadar berkongsi apa yang kita dapat (maklumat). Terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing mahu ambil tindakan atau tidak.
“Sebelum ini, Perlis juga ada minta bantuan kita untuk kongsi maklumat. Kita tiada masalah untuk membantu kerana kita ada maklumat tersebut,” katanya.
Abdul Aziz berkata, hasil perkongsian maklumat itu jugalah menyebabkan banyak tangkapan telah dibuat di negeri lain, malah ada negeri sudah memfatwakan GISBH haram dan ajaran sesat.
“Antara yang telah haramkan kumpulan ini termasuklah Selangor, Perlis dan Kelantan.
“Apabila Selangor sudah membuat pengumuman ini (memfatwakan GISBH sesat), mungkin negeri-negeri lain nanti akan ‘membuka mata’,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak MAIS juga telah mengatur beberapa program bagi memulihkan semula akidah ahli-ahli GISBH yang ditahan kerana mereka terlalu taksub kepada pemimpin mereka.
“Program ini melibatkan latihan dan pendidikan dan ia akan dilaksanakan bersama bekas ahli-ahli kumpulan ini yang sudah bertaubat. Kita juga akan libatkan agensi kerajaan lain termasuk dibawah MAIS sendiri.
“Tujuan kita laksanakan program ini supaya mereka betul-betul pulih dan harapan kita agar mereka tidak kembali ke ajaran asal dan menubuhkan kumpulan baharu lagi. Sebab GISBH ini adalah daripada pengikut Al-Arqam sebelum ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














