fbpx
BANYAK karakter sudah digalas namun watak tokoh dunia persilatan tanah air adalah sesuatu yang sangat dinantikan aktor prolifik, Beto Kusyairy. Kali ini, dia sanggup mencabar diri menjalani rejim diet dan rutin latihan mendapatkan tubuh pendekar berotot sasa hanya dalam masa kurang daripada satu bulan sebelum filem baharunya menjalani penggambaran.

‘Asyik dilambung, adakah disambut jika tersungkur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESAR atau kecil sesebuah karakter, pelakon Beto Kusyairy sentiasa serius membuat persediaan sebelum memasuki set penggambaran demi merealisasikan watak yang diamanahkan ke bahunya.

Rutin sama dilalui demi filem Gayong yang bakal memulakan penggambaran pada 5 Oktober depan.

Ironinya, dalam naskhah yang menuntut aktor berusia 44 tahun itu tampil persis mahaguru silat, dia hanya diberikan tempoh sebulan untuk memiliki tubuh sasa.

Banyak lagi usahaperlu dilakukan, dia harus mengupah jurulatih kecergasan peribadi selain berdisiplin dalam pemakanan.

Beto Kusyairy kini menyahut cabaran besar menterjemahkan kehebatan mahaguru silat ikonik juga Pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Allahyarham Datuk Meor Abd. Rahman dalam filem Gayong.

Mahir silat

Semua itu dilakukan Beto bagi menzahirkan karakter seorang pendekar seperti Allahyarham Datuk Meor Abd.Rahman, tokoh utama dalam epik berkenaan.

“Saya kini dalam proses buat badan dan sedang cuba sehabis baik untuk dapatkan fizikal berotot dalam waktu kurang sebulan.

“Sebagai usaha ke arah itu, saya terpaksa ambil inisiatif mengupah ‘personal trainer’ untuk bantu kerana saya jenis kurang rajin ke gim kecuali atas tuntutan kerja,” katanya kepada HibGlam.

Selain masuk gim lima kali seminggu, Beto turut mengambil kuantiti protein tinggi untuk kelihatan lebih sasa daripada biasa.

“Ikutkan dalam seminggu saya akan bersenam selama lima hari dengan sekurang-kurangnya sejam dan tidak ketinggalan menaikkan berat badan dan bina otot.

“Bagi misi tersebut, saya minum susu protein dan makan telur separuh masak sebanyak 10 biji setiap hari. Memang kena berdisiplin,” ujarnya.

TIDAK hanya bakat dan kehandalan aksi silat, Beto juga dituntut memiliki tubuh sasa dan kekar demi merealisasikan watak guru silat dalam filem Gayong. – SHIDDIQIN ZON

Jumpa waris

Sebati dengan seni mempertahankan diri sejak berusia tujuh tahun, Beto mengakui tiada masalah menjayakan watak yang menuntut aksi persilatan adan tangkas bermain senjata.

Mahir menggayakan berbagai rentak seni silat namun pengalaman serta mempunyai asas silat tidak bermakna Beto mengambil mudah dalam menjayakan naskhah terbitan SOL Pictures tersebut.

Justeru, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32 itu sanggup mencari dan bertemu waris Allahyarham Meor untuk mengenali keperibadian tokoh terbabit.

“Saya berjumpa dengan beberapa guru tua yang mengenali arwah selama lebih 20 tahun seperti Awang Daud di Gurun, Kedah bagi mengetahui karakter mahaguru terbabit.

“Waris dan rakan Allahyarham masih ada, kita pula mahu mengangkat namanya, jadi besar tanggungjawab saya menghidupkan watak ini.

Tambahan pula jangkaan masyarakat sudah tentu tinggi mahu melihat hasilnya.

“Kajian saya juga mendapati Allahyarham berbadan tegap sehingga digelar pendekar ‘sendo’ atau ‘kejar’. Sebab itu saya ambil jurulatih peribadi,” ulasnya.

BETO berbesar hati apabila aktor terkenal Indonesia, Yayan Ruhian sanggup turun berlakon di Malaysia atas pelawaannya

Yayan kembali

Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip dan aktor tersohor Indonesia, Yayan Ruhian.

Katanya, persetujuan bintang Indonesia yang menempa nama di Hollywood itu sebagai sesuatu mengujakan.

“Saya memang selesa bekerja dengan Yayan. Jadi, apabila dapat tawaran dan penerbit juga ingin dia terbabit, saya kata okey biar saya cuba (hubungi) dulu.

“Tak sangka Yayan sanggup melapangkan jadual kerjanya untuk ke Malaysia bulan depan menjayakan filem ini serta bertindak sebagai koreografi silat untuk kami.

“Kami memang rapat dan bersahabat baik, selain kerap berkongsi pendapat. Hubungan baik kami umpama keluarga kerana bukan berbincang urusan kerja bahkan berkongsi hal yang agak peribadi,” katanya.

Beto turut mengakui sangat menghormati bintang John Wick itu yang disifatkan sebagai aktor aksi berkaliber dan jurulatih silat berpengalaman.

“Apabila Yayan sudi berlakon di sini (Malaysia) kerana saya, itu penghormatan atas persahabatan baik kami.

“Saya mula berkawan dengan Yayan apabila membintangi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof,” ungkapnya lagi.

Sebelum ini, Yayan, 56, juga bapa tiga anak itu pernah membintangi filem pecah panggung, Star Wars: The Force Awakens pada 2015.

SELESA bekerja tanpa serius memikitrkan soal pengiktirafan, bagi Beto, semuanya memadai dengan kerja keras dan terbaik yang dicurahkan demi rezeki buat keluarga.

Takut pujian

Meninggalkan Gayong dan beralih ke topik pengiktirafan selepas hampir dua dekad memperjuangkan bakat, Beto mengakui takut dengan anugerah, perasaan sama dilalui saat menerima pujian melambung. Dia paling takut tersasar arah dan lupa diri.

Apa yang lebih penting buatnya adalah melakukan kerja seni yang menjadi cintanya sejak dahulu demi rezeki untuk isteri serta keluarga

“Saya sebenarnya takut dengan pengiktirafan kerana dalam hati saya akan terdetik apabila terlalu asyik dilambung, adakah orang akan sambut juga apabila tersungkur nanti?

“Saya sudah banyak melihat situasi dihadapi ramai pelakon legenda kita yang suatu ketika dahulu cukup gah dalam industri hiburan tetapi akhirnya apabila semakin berusia, dilupakan begitu sahaja.

“Apa pun, saya hanya mampu bersyukur dapat memberikan hasil kerja lakonan terbaik bagi membalas sokongan tidak berbelah-bahagi yang diberikan peminat,” ulasnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN