fbpx
HAVAL H6 HEV juga merupakan sebuah kenderaan utiiti sukan (SUV) dalam segmen C.

Haval H6 HEV mesra alam kekal berprestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELARAS ke arah mobiliti lebih mesra alam, Great Wall Motor Malaysia (GWM) sebagai pengeluar kenderaan telah mengorak langkah memperkenalkan kenderaan elektrik hibrid (HEV) Haval H6 untuk pasaran di Malaysia.

HEV atau dikenali kereta hibrid ialah kenderaan dijana enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional, motor elektrik dan pek bateri.

Haval H6 HEV dikuasakan oleh teknologi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) terkini dengan gabungan kuasa petrol dan elektrik yang efisien untuk pemanduan lancar.

Sebagai kenderaan dwitenaga yang cekap tenaga, kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid itu menawarkan pemanduan dan prestasi lebih baik termasuk memberikan jarak pemanduan lebih jauh sebelum mengisi semula bahan api.

Kenderaan HEV tidak membolehkan pemandu memilih menukar ‘mod petrol’ atau ‘mod elektrik’ sebaliknya penukarannya bertindak automatik seiring kelajuan kenderaan.

Sekali pandang, SUV hibrid dari China itu tampak premium sesuai dan bakal memberi saingan kepada model seperti Chery Tiggo 7 Pro dan Honda CR-V e:HEV.

Rekaan jeriji hadapan menggunakan elemen Star Matrix, manakala lampu belakang LED melintang sebaris dengan lencana HAVAL. Ia diperkemas dengan rim aloi warna hitam bersaiz 19 inci menjadikannya nampak ‘maskulin’.

SUV hibrid berorientasikan keluarga ini sangat sesuai untuk penggunaan di Malaysia yang masih belum beralih kepada kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya. Pemandu juga tidak perlu fikir di mana stesen pengecasan kenderaan kerana baterinya akan mengecas sendiri setiap kali kenderaan bergerak.

Haval H6 HEV yang bakal dilancarkan kelak itu telah dibuka untuk pasaran di Malaysia pada harga sekitar RM145,000 (atas jalan raya) jauh lebih rendah berbanding model HEV lain.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji Haval H6 HEV dengan menelusuri perjalanan pergi balik sejauh 800km dari GWM USJ ke Desaru, Johor.

Bumbung panoramik suria memberikan pengalaman pemanduan hebat sambil melihat panorama sekeliling.

Ternyata, SUV hibrid dalam segmen C ini sangat sesuai untuk pemanduan jarak jauh, malah penulis dapat rasai kestabilan jentera ini yang berdimensi 4,653 milimeter (mm) panjang, 1,886mm lebar dan 1,730mm tinggi.

Berada di kerusi penumpang bahagian belakang juga tidak membuatkan penulis rasa terbuai walaupun kenderaan memecut laju melebihi 150 kilometer sejam (km/j).

Dari segi kuasa, Haval H6 HEV dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa maksimum 150hp dan tork 230Nm, manakala motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130hp atau tork 300Nm.

Gabungan motor dan enjin Haval H6 HEV ini mampu menjana sehingga 243hp dan tork tertinggi 530Nm tork dengan enjin bertindak sebagai pengecas bateri hibrid 1.8 kilowatt (kW) dengan motor elektrik memacu SUV ini pada kebanyakan masa. Kereta hibrid ini mempunyai kadar kesenyapan kabin (NVH) yang baik seakan tidak digerakkan oleh bahan api.

HAVAL H6 HEV mempunyai kestabilan yang baik dan berprestasi tinggi menerusi paduan pembakaran petrol dan elektrik.

Meninjau ke ruang kabin, jentera ini menggunakan rekaan yang minimalis tetapi mewah dengan gabungan warna hitam, kelabu dan rose gold selain aspek keselesaan diberi penekanan dengan penggunaan kerusi semi bucket kulit.

Skrin kluster 10.25 incinya diikuti skrin infotainment 12.3 inci yang turut menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, manakala gearnya jenis rotari yang dilaraskan dengan cara memusingkannya.

Bumbung panaromik dalam SUV ini juga memberikan pengalaman menarik kepada pemandu dan penumpang untuk melihat pemandangan sekeliling.

Penulis yang mencuba SUV hibrid ini merasakan olengan badan Haval H6 ini amat memuaskan ketika melalui selekoh.

Ia bukan sahaja sesuai untuk pemanduan di jalan bandar dan lebuh raya tetapi boleh memberi pecutan ketika memotong lori balak di lorong sehala di jalan kampung.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini bukan sahaja menawarkan rekaan premium tetapi berpretasi tinggi

Ia juga menawarkan penjimatan bahan api yang efisien menjadikannya kenderaan pilihan tepat dan mesra alam berbanding kereta konvensional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN