RUANGAN kali ini penulis mahu mengulas mengenai dua perkara yang tiada perkaitan langsung. Pertamanya isu berkaitan penjawat awam, manakala berikutnya lebih kepada perihal peribadi.
Baru-baru ini penulis ada bertemu dengan beberapa rakan yang berkhidmat dalam sektor awam. Jadinya penulis sudah berjanji untuk menulis mengenai dilema mereka.
Tiga orang rakan yang berkhidmat sebagai penjawat awam masih menimbang-nimbang ada mahu kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) atau menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember depan.
Seorang rakan yang juga jururawat memberitahu jika kekal dengan SSM gajinya tidak naik seperti SSPA. Andai memilih SSPA gajinya meningkat 15 peratus, namun elaun kritikal golongan terbabit akan pegun.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan, pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober sehingga 30 November depan untuk memilih skim baharu ini menggantikan SSM.
Nampaknya, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif turun padang menerangkan kelebihan serta kekurangan yang terdapat dalam sistem baharu ini. Memandangkan ketika ini masih banyak masa lagi sebelum penjawat awam membuat pilihan.
Rakan kedua yakni seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W22 pula berseloroh, selepas ini untung kedai pembuat cap getah (rubber stamp) berikutan perubahan gred dalam SSPA.
Selorohnya lagi, dia yang berada dalam Gred 22 ketika ini jika memilih skim baharu itu akan dimasukkan di bawah Gred SSPA 2. Bayangkan berapa banyak cap getah perlu ditukar berikutan pelarasan itu.
Seorang lagi rakan yang khidmatnya tertumpu kepada ‘jasa kepada rakyat’ memaklumkan dia pula tidak yakin dengan maklumat yang diminta menerusi sistem e-Vetting 2.0.
Jelasnya, sistem tapisan keselamatan kepada pegawai awam ini bagus. Seandainya anda pernah mempunyai kes jenayah selalunya akan ‘sangkut’ pada peringkat ini. Cuma dia pelik kenapa perlu turut diminta mengisi profil URL media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya.
Berikutnya adalah perihal kedua yang penulis nyatakan tadi. Perkara ini bersifat peribadi. Tidak sangka pula hidup membujang pun orang boleh mudah-mudah jatuh hukum. Besar sangat gamaknya ‘dosa’ individu yang masih belum bernikah ini.
Bayangkan, tiba-tiba mengetahui nama anda dituduh atau bahasa mudahnya difitnah sebagai penyumbangleweng. Lebih menjatuhkan maruah apabila dipalitkan dengan perbuatan seksual sejenis. Ada dua nama yang ‘naik’ termasuk penulis.
Sudah boleh diagak kenapa nama kami yang disebut-sebut. Puncanya masih bujang sedangkan fakta sebenar jauh menyimpang. Buat pemfitnah, ketika datang meminta ampun nanti cium tapak kaki penulis. Penulis tidak reda. Sekian.














