PETALING JAYA – Tidak sanggup melihat orang tersayang menanggung kesakitan menyebabkan ada ahli keluarga yang sanggup mendermakan organ termasuk buah pinggang. Mereka sanggup bertarung nyawa berkongsi organ asalkan penerima iaitu suami, isteri atau anak sihat semula dan menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa perlu melakukan rawatan dialisis seumur hidup.
Seorang pesakit buah pinggang yang mahu dikenali Lu, 52, merupakan antara insan bertuah apabila isterinya, Lim, 48, yang dinikahi sejak 27 lalu sanggup berkorban menyerahkan sebelah buah pinggang secara sukarela.
Lu yang merupakan ejen insurans disahkan menderita penyakit buah pinggang sejak Mac 2021. Selepas menjalani pelbagai rawatan, kesihatan bapa dua anak itu tidak menunjukkan perkembangan baik sehingga doktor menyarankan dia mempertimbangkan pemindahan organ.
“Sewaktu doktor beri cadangan, saya tolak. Saya tidak mahu menyusahkan adik-beradik sehinggalah isteri menyuarakan hasrat mahu mendermakan buah pinggangnya.
“Selepas itu, kami berulang-alik dari Johor ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani ujian dan prosedur kesihatan lain. Isteri saya tidak mempunyai masalah kesihatan, jadi dia layak menderma organ,” katanya kepada Kosmo!.
Pasangan itu selamat menjalani pembedahan 19 Julai lalu.
“Beberapa jam sebelum pembedahan, saya sempat bertanyakan kepada isteri adakah dia tidak menyesal berbuat demikian, tetapi dia hanya tersenyum. Dia mahu melihat saya sembuh seperti sediakala,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Lu memberitahu, selepas pembedahan tersebut, dia berasa seolah-olah mendapat nyawa semula dan kembali cergas berbanding sebelum ini dan isterinya juga dalam keadaan baik.
“Selepas ini kami perlu lebih berhati-hati dalam aspek pemakanan bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan di kemudian hari,” katanya.
Tambah Lu, dia sudah berdaftar sebagai penderma organ sejak berusia 20-an.
“Bagi saya, organ yang kita derma akan menjadi ‘penyambung hayat’ buat individu yang memerlukan. Bagi saya itu yang paling bermakna,” katanya.
Sementara itu, Nurzulaili Mohd. Tahet, 52, memberitahu, dia membuat keputusan untuk mendermakan organ miliknya selepas anak perempuannya disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada usia sembilan tahun.
Sebagai ibu, Nurzulaili tidak sanggup melihat anaknya, Ameera Syaqirah Abd. Halim, 26, berdepan ujian tersebut seorang diri lantas tekad berkongsi organ dengan zuriatnya itu yang disahkan menghidap sakit buah pinggang tahap akhir pada penghujung tahun 2016.
“Doktor beri dua pilihan sama ada jalani dialisis atau pemindahan organ. Lehernya ditebuk jadi saya tidak sanggup melihat kesakitan yang ditanggungnya. Setelah berbincang dengan suami, kami pilih untuk menjalani pemindahan buah pinggang.
“Kami berdua menjalani ujian, namun suami tidak layak menderma. Hanya saya yang sesuai. Pembedahan itu dilakukan pada awal tahun 2018,” katanya.
Jelas wanita itu, proses pemindahan tertangguh beberapa kali kerana anaknya menyambung pengajian di universiti dan suaminya juga meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung.
“Selepas ayahnya tiada, Ameera tidak mahu teruskan pembedahan, namun saya beri kata-kata perangsang akhirnya dia bersetuju,” katanya.
Nurzulaili berkata, kehidupan anak gadisnya kini bertambah baik dan sudah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari.
“Saya juga berada dalam keadaan sihat. Tiada sebarang perubahan ketara lepas pembedahan tersebut. Sebelum pembedahan memang ramai yang cakap ‘nanti kau pula yang sakit’.
“Tetapi niat saya cuma mahu anak saya sihat seperti orang lain. Jadi saya hanya bertawakal kepada Allah. Jika kita hendak lihat orang yang kita sayang sihat, kita akan berkorban apa sahaja. Selebihnya, serahkan kepada Allah,” kata wanita itu.














