PONTIAN – “Bukan mudah nak menjadi sebagai Unit Combat Intelligence Squad (UCIS), kami terpaksa berada di dalam hutan selama 4 bulan untuk menjejaki komunis.”
Itu kata bekas Pegawai Waran 11, Basiran Salipan, 77, yang menyertai unit tersebut bagi menghapuskan gerakan pengganas komunis.
Basiran berkata, latihan selama enam bulan betul-betul mencabar ketahanan diri dari segi mental serta fizikal termasuk latihan ‘survival’ selama sebulan di dalam hutan.
“Ramai generasi tentera darat sekarang tidak mengenali pasukan penggempur terbaik pada satu ketika dahulu yang digeruni pengganas komunis.
“Pasukan ini tidak lain tidak bukan UCIS atau dikenali sebagai Risik Gempur yang diasaskan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Kudus, di sini kelmarin.
Menurutnya, setelah tamat latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, dia ditempatkan dalam pasukan 9 RAMD di Kem Majidee, Johor, di Unit Infantri yang terlibat dengan gerakan hapuskan komunis.
Ujarnya, semasa penubuhan UCIS pada tahun 1970, dia terpilih menyertai Tiger Platoon (Platun Harimau) pada usia 22 tahun bagi menghapuskan pengganas komunis di Sarawak.
“Kami yang terpilih berdasarkan kepada kemahiran tertentu seperti combat tracking, kemahiran menjejaki komunis, bekerja dalam tekanan, displin dan sebagainya,” ujarnya yang kini bertugas sebagai Imam 1 di Masjid Jamek Kampung Parit Kudus, di sini.
Katanya, tugas pasukannya menyediakan plan lokasi tempat musuh berada dan memberikan maklumat kepada pasukan atau unit lebih besar sebelum mereka dapat melakukan serangan.
Tambahnya, nyawa dia bersama dua anggota lain seperti berada di hujung tanduk kerana mereka tidak dibenarkan untuk menembak musuh, sebaliknya hanya melihat markas komunis yang ditemui.
“Sepanjang bergelar tentera, saya bertempur sebanyak 12 kali dengan pengganas komunis di Sarawak dan juga di Semenanjung pada tahun 70-an,” katanya.














