DALAM dunia hiasan dalaman, pilihan warna memainkan peranan penting bagi menetapkan mood sesuatu ruang.
Satu skema warna yang popular dalam penggemar tatahias rumah ialah kombinasi abadi antara hijau dan putih.
Palet tersebut membangkitkan rasa semula jadi dan kesegaran sambil menawarkan keseimbangan antara ketenangan dan keselesaan.
Atas dasar itu, kombinasi dua warna tersebut menjadi pilihan suri rumah, Siti Nur Anis Mat Zurihan dalam dekorasi kediaman keluarganya.
Keluarga dengan empat ahli keluarga itu tinggal di kuarters kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 15 yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan.
Kata wanita berusia 30 tahun itu, kombinasi dua warna tersebut sentiasa menjadi tema kediamannya sejak mereka pindah masuk pada tahun 2020.
“Saya pilih konsep hijau putih sebab memang dari sekolah lagi saya suka warna hijau kerana ia berikan saya ketenangan.
“Untuk deko rumah juga, saya selitkan warna kayu sebab mahu masukkan sedikit elemen-elemen bohemian dan muji,” katanya.
Warna putih yang mendominasi dinding dan langsir menyerlah bagaikan kanvas kepada keseluruhan tatahias kediaman berkenaan.
Sofa berwarna hijau dan krim diletakkan di ruang tamu dan dipadankan dengan kusyen berwarna serupa bagi membangkitkan keharmonian tona.
Pada bahagian dinding, bingkai-bingkai gambar daun berwarna hijau melengkapkan dinding putih yang pada asalnya polos.
Kesinambungan warna menerusi perabot dan pokok artifisial turut boleh dilihat pada ruang makan dan ruang santai.
Ujar Siti Nur Anis, warna elemen kayu diterjemahkan menerusi penggunaan tikar getah dan tikar buluh sekali gus menaikkan seri ruang.
“Rumah saya memang kurang perabot kerana saya nak elak daripada mengalami masalah habuk dan nampak serabut.
“Pada saya, rumah jadi nampak kemas cantik sebab pemilihan warna tikar getah dan buluh dengan aura neutral klasik,” katanya.
Mengulas berkenaan penjagaan rumahnya yang serba putih, ibu kepada dua orang anak itu mengakui sering mengelap habuk pada perabotnya.
Selain itu, langsir juga sering dicuci dan diganti pada setiap bulan agar fabrik tersebut tetap kelihatan putih bersih dan tidak memiliki kesan kotoran.
Ujarnya, biarpun anaknya yang berusia empat tahun masih kecil dan lincah, namun si kecil itu tidak gemar mengusik perabot-perabot rumah.
“Sebenarnya ada saja anak saya conteng dinding tapi perkara itu jarang sangat berlaku.
“Suami saya juga banyak membantu dalam memastikan keadaan rumah sentiasa kemas,” katanya.














