UDANG galah atau lebih dikenali sebagai ‘si sepit biru’ dalam kalangan kaki pancing merupakan antara hidupan sungai yang kerap diburu.
Ini kerana faktor harganya di pasaran yang tinggi sehingga mencecah RM80 sekilogram bagi udang galah hidup dan antara RM50 hingga RM60 bagi udang galah mati.
Justeru, tidak hairanlah apabila ramai antara kaki pancing yang kerap turun ke sungai untuk memburu si sepit biru sebagai sumber pendapatan tambahan mereka.
Itulah yang dilakukan Zulkifli A. Wahab, 47, yang merupakan seorang pemburu tegar udang galah walaupun telah mempunyai kerjaya tetap sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Muar, Johor.
Dia yang sudah lebih 20 tahun menjadi pemburu udang galah memberitahu, Sungai Muar merupakan antara lokasi utamanya untuk memburu si sepit biru.
“Kebiasaannya saya akan menaiki bot milik saya untuk memancing udang galah di sekitar kawasan Gersik dan Tanjung Olak.
“Malah, Tanjung Olak lebih kerap dikunjung pemburu udang galak kerana ia terkenal sebagai lubuk sepit biru kerana terletak di pertengahan antara hulu dan hilir Sungai Muar.
“Tambahan pula, tahap alkali (pH) air di sekitar Tanjung Olak juga sangat sesuai untuk udang galah bertelur dan membiak, menyebabkan jumlah kehadirannya lebih tinggi berbanding kawasan lain di Sungai Muar,” katanya.
Jelas Zulkifli lagi, tangkapan udang galah juga akan menjadi lebih tinggi apabila musim bertelur kerana udang galah betina biasanya akan mudik ke hilir sungai untuk melepaskan telur di kawasan air payau.
Pergerakan tersebut katanya, akan turut melibatkan udang galah jantan yang mengikut udang galah betina ke kawasan pelepasan telur.
“Biasanya kalau musim udang galah bertelur, saya mampu mendapat hasil tangkapan yang lebih tinggi iaitu melebihi 5 kilogram (kg) setiap kali turut ke sungai.
“Selain itu, udang galah juga akan aktif mencari makanan pada musim panas, menyebabkan ramai pemancing akan mengambil kesempatan untuk memburunya.
“Baru-baru ini, saya mampu mendapat sehingga 4 kg udang galah ketika memancing di sekitar Tanjung Olak selama kira-kira enam jam,” katanya.

Jelasnya, kebiasaannya sebahagian besar hasil tangkapannya akan dijual kepada pembeli yang sudah sedia menunggu di jeti.
Malah katanya, ada juga antara rakan-rakannya yang sudah membuat tempahan awal untuk membeli hasil tangkapan udang galah setiap kali dia turut ke sungai.
Tambah Zulkifli, disebabkan sudah berpengalaman memburu si sepit biru, dia biasanya akan memancing di kawasan lubuk yang sudah dikenal pasti menjadi tumpuan udang galah berkumpul dan mencari makanan.
Malah katanya, dia juga akan menggunakan saiz mata kail dan umpan yang bersesuaian bagi mendapatkan hasil tangkapan yang tinggi.
“Selain pemilihan umpan dan mata kail yang tepat, pemancing juga harus mempunyai kemahiran mengendalikan alatan pancing supaya udang yang sudah memakan umpan tidak terlepas.
“Ini kerana, kaedah memancing udang galah tidak sama dengan kaedah memancing ikan.
“Selain itu, pemancing udang galah lebih mudah jika menggunakan bot kerana pemancing boleh berpindah dari satu lubuk ke lubuk lain dengan mudah untuk mencari lokasi udang galah berkumpul,” ujarnya.
Menurut Zulkifli lagi, antara kaedah yang digunakan untuk mencari lubuk udang galah adalah dengan melihat kepada keadaan akar tumbuh-tumbuhan di sekitar tebing sungai.
Jelasnya, sekiranya keadaan air di akar pokok kelihatan bersih dan tidak berlumpur, ia menandakan kemungkinan kawasan tersebut merupakan lubuk udang galah.
Kongsi Zulkifli, satu lagi kaedah yang digunakan adalah dengan melihat kepada keadaan arus air sungai.
“Jika musim hujan, arus air sungai akan lebih laju dan sejuk, menyebabkan udang galah akan bersalin kulit dan tidak akan aktif mencari makanan kerana lebih kerap menyorok di bawah akar kayu.
“Jadi, musim panas atau ketika arus sungai perlahan adalah lebih mudah untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak,” katanya.
















