PETALING JAYA – Inisiatif kerajaan meneruskan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan melegakan golongan pelajar terutama dari Sabah dan Sarawak yang selama ini terbeban dengan harga tiket mahal.
Usaha itu melibatkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan (FLYsiswa) dan mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sewaktu musim perayaan.
Seorang pelajar, Maxene Anak Chakong, 22, berkata, inisiatif itu dinantikan oleh pelajar sepertinya yang menuntut di Semenanjung yang terbeban dengan harga tiket mahal.
“Macam kami, elaun cuma RM800, tetapi tiket pergi balik pada musim perayaan mencecah RM700. Harganya jauh berbeza berbanding hari biasa yang berharga RM100 hingga RM200,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Kelmarin Kabinet bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dua inisiatif itu melibatkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan (FLYsiswa).
Ia mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
Maxene yang merupakan penuntut di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor berkata, dia juga beberapa kali melupakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak kerana harga tiket yang agak mahal opada ketika itu.
Sementara itu, seorang pelajar tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Earizan Mustin, 23, berkata, inisiatif berkenaan memberi kelegaan kepadanya yang berdepan dengan kekangan kewangan untuk pulang ke kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah.
“Sebelum ini, harga tiket penerbangan adalah satu perkara yang perlu diutamakan kerana harga yang tidak tetap.
“Daripada pandangan saya, FLYsiswa ini amat membantu saya dari segi kewangan.
“Sebagai contoh, pada bulan lalu, harga tiket penerbangan adalah RM327, tetapi saya dapat membeli tiket pada harga serendah RM27 sahaja menggunakan FLYsiswa,” katanya.
Seorang penuntut jurusan Sains Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Tracy Anna Jani, 22, berkata, dia sebelum ini dapat pulang ke kampung halamannya di Keningau, Sabah selepas memanfaatkan FLYsiswa.
“Pada Julai lalu saya dapat pulang ke rumah pada cuti semester selepas harga tiket dikurangkan sebanyak RM300 menggunakan subsidi FLYsiswa.
“Kalau bukan cuti yang panjang, memang saya tidak balik kerana tiket mahal, cuma bila ada FLYsiswa ini setidaknya dapatlah berjimat dan mengurangkan beban ibu bapa untuk menampung kos pengangkutan saya,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Sementara itu ditanya mengenai inisiatif kerajaan mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan, Ruzaimie Ahmad, 38, yang berasal dari Sandakan memberitahu, kos perjalanan untuk sebuah keluarga masih dianggap terlalu mahal.
“Mengenai inisiatif ini memang sangat baik, tetapi kalau mahu dikira untuk sebuah keluarga ia masih mahal, kecuali kalau beli tiket lebih awal sebelum memasuki musim perayaan.
“Harga siling untuk seorang tu masih dirasakan mahal, cuba bayangkan kalau dalam sebuah keluarga ada lima orang, jadi memang kena sediakan RM3,000 untuk membeli tiket perjalanan pergi dan balik,” katanya.
















