PUTRAJAYA – Kira-kira 67 peratus responden atau kira-kira 142,000 rakyat di negara ini bersetuju menerima vaksin Covid-19.
Daripada jumlah itu, 95.7 peratus merasakan vaksin selamat digunakan, yakin vaksin berkesan mencegah jangkitan (89.6 peratus) dan tidak meragui bahan dalam vaksin (67.4 peratus).
Angka itu adalah daripada sejumlah 212,006 rakyat Malaysia yang menyertai ‘Tinjauan Vaksin: Terima Atau Tolak?’ yang telah dijalankan secara dalam talian dari 21 hingga 28 Disember lalu.
Menerusi tinjauan sama, terdapat segelintir responden yang memberi jawapan ‘Tidak Pasti’ iaitu sebanyak 17 peratus dan untuk menerima vaksin Covid-19.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), responden yang memberi jawapan ‘Tidak Pasti’ menyatakan kerisauan terhadap kesan sampingan vaksin dengan peratusan 83.2.
“Selain itu, sebanyak 78 peratus responden berasa tidak pasti vaksin berkesan untuk mencegah jangkitan manakala 71 peratus lagi tidak pasti vaksin selamat digunakan,” katanya.
Sementara itu, terdapat 16 peratus responden yang Tidak Bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 96.1 peratus responden risau kesan sampingan, meragui bahan dalam vaksin (84.6 peratus) dan rasa vaksin tidak selamat digunakan (82.8 peratus),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, KKM memahami kerisauan dan kebimbangan mengenai isu keselamatan, keberkesanan dan kes sampingan vaksin Covid-19.
“KKM akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyalurkan informasi yang tepat dan telus,” katanya. -K! ONLINE














