fbpx
Menara Kuantan 188 menjadi tarikan utama pelawat di Kuantan, Pahang.

Menara Kuantan 188 punyai jiwa, keunikan tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN banyak menara terkenal di dunia seperti Burj Khalifa, Eiffel Tower, Macau Tower dan sebagainya, namun ia tidak setanding dengan keunikan Menara Kuantan 188, Kuantan, Pahang.

Hakikatnya, Menara Kuantan 188 mempunyai jiwa yang tidak ada pada menara-menara lain. Menara Kuantan 188 mempunyai sisi berbeza kerana bukan sahaja terletak di tengah bandar Kuantan, malah berhampiran Sungai

Kuantan yang menjadi laluan sejarah utama Pahang.

Ia bukan sahaja menyajikan pemandangan pembangunan bandar Kuantan yang semakin pesat, malah kehijauan hutan paya bakau yang berusia lebih 500 tahun.

Pengarah Urusan Menara Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, mercu tanda strategik itu dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang.

Katanya, pembinaan bermula pada Ogos 2017, sebelum siap pada 2019, manakala sijil penyiapan dan pematuhan dikeluarkan pada November 2020.
Ia dibuka secara rasmi pada Februari 2021.

“Menara Kuantan 188 lain daripada lain, di sisinya hutan paya bakau berusia 500 tahun.

“Sebelah lainnya pula ada Sungai Kuantan yang menjadi laluan utama sejarah.

“Di sisi lain lagi, ada pemandangan Laut China Selatan. Ia juga lokasi terbaik menyaksikan pembangunan pesat bandar Kuantan.

“Menara ini ada jiwa, saya guna pengalaman saya untuk membawa jiwa dan mengisi jiwa Menara Kuantan 188,” katanya.

Menurutnya, menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu menjadi antara tarikan utama khususnya di Kuantan.

Katanya, menerusi dek tontonan menara yang terletak kira-kira 92 meter dari atas tanah, pengunjung dapat melihat pemandangan bandar Kuantan dan keindahan alam semula jadi paya bakau dan Sungai Kuantan.

Selain itu katanya, terdapat restoran, dek pemerhatian terbuka, jejantas udara dan pelantar terjunan berpandu dengan ketinggian 104 meter.

Ujarnya, pengunjung juga boleh melakukan pendakian tiang pada ketinggian 160 meter.

“Kita ada laman cantik dan ruang yang luas. Selain itu, ada pelantar pemandangan di lif timur dan barat.

“Jadi dalam masa 58 saat, kita boleh sampai ke pelantar pemandangan 92 meter, lepas itu naik pula ke pelantar restoran pada ketinggian 98 meter.

“Kami putuskan tidak menjual makanan yang bertembung dengan pengusaha makanan lain. Jadi, kami buka restoran Jepun dan makanan Barat,” katanya.

Menceritakan reka bentuk menara itu, dia berkata, meskipun seiras dengan Macau Tower, namun ia mempunyai keunikan tersendiri.

PENGUNJUNG berpeluang melihat panorama Sungai Pahang dari atas dek.

Katanya, kepala menara direka bentuk seperti bilah pedang yang menjadi jata negeri Pahang.

Ulas Zulkifli, terasnya pula adalah seperti pohon teruntum yang banyak tumbuh di kawasan itu suatu ketika dulu, sekali gus melengkapkan ciri Pahang.

“Alhamdulillah, Menara Kuantan 188 cukup unik kerana berada di tepi Sungai Kuantan. Tidak banyak menara di dunia yang ada di tepi sungai.

“Jadi, apabila kita berada di sebelah sungai, jiwanya berbeza sebab Sungai Kuantan ada buaya dan burung helang. Tidak silap saya, ada tujuh spesies burung helang di sini.

“Ia juga mempunyai kekuatan yang amat unik iaitu hutan bakau sepanjang Sungai Kuantan.

“Hutan bakau ini bukan sahaja warisan, malah bukti alam semula jadi menjadi agenda utama pemerintahan Pahang.

“Kita dapat tengok ‘living river’ Sungai Kuantan ini seperti bot nelayan pergi muara, masuk Laut China Selatan, pergi menangkap ikan dan orang balik dari laut,” katanya.

Ditanya mengenai nama Menara Kuantan 188, dia memberitahu, nama itu diluluskan kerajaan negeri, di mana Kuantan 188 menggabungkan nama Bandar Raya Kuantan dengan ketinggian menara iaitu 188 meter.

Katanya, Menara Kuantan 188 juga memperkenalkan destinasi percutian dengan membina pelancongan berdasarkan komuniti.

“Menara ini turut menjadi hab pengusaha produk makanan negeri Pahang dan hab belia serta sukan,” ujarnya.

Katanya lagi, menara itu juga menjadi hab seni dan budaya dengan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan seperti pelaksanaan program bersama pelukis serta pencinta seni budaya.

Dia memberitahu, ketika ini, antara galeri yang menarik minat orang ramai adalah Galeri Mat Kilau yang memaparkan sejarah pejuang-pejuang Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN