ALOR SETAR – Rawatan bedah batin memang sudah sinonim dengan masyarakat apatah lagi apabila wujud dakwaan pesakit kanser tiba-tiba sembuh sehingga mendorong orang lain untuk mencubanya.
Ia berdasarkan sebuah video di TikTok yang menunjukkan kononnya seorang pesakit kanser otak sembuh selepas menjalani rawatan bedah batin dilakukan oleh bomoh bergelar Pakteh dari Kuala Muda di sini.
Lelaki itu mendakwa dia membayar RM10,000 kepada bomoh tersebut.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak menunjukkan bukti pengesahan daripada pihak berkuasa atau hospital mengenai penyakitnya itu.
Dalam video itu dia mendakwa Pakteh merawat bayi dan kanak-kanak yang menghidap kanser otak, jantung berlubang, injap jantung terbalik dan buah pinggang.
Dalam rawatan itu, Pakteh dilihat menggolekkan telur pada kepala pesakit kanser otak dan masalah jantung serta turut menggunakan daun sirih.
Pakteh juga menyebut mahu keluarkan jantung sebagai salah satu prosedur rawatan sebelum menutupnya dengan penutup luka.
Bagaimanapun, bomoh itu tidak merawat seorang pesakit kanser hati kerana dikatakan terlalu kronik dan badannya sudah bertukar warna kuning dan lidahnya putih.
“Nak kena masukkan darah sebab nak angkat hati. Kalau darah tak boleh masuk, nanti rugi,” kata lelaki itu.
Melihat kepada ruangan komen, masih ramai yang berminat untuk mendapatkan rawatan daripada bomoh itu termasuk bagi anak-anak autistik dan mereka yang mengalami anxiety.
Ia menunjukkan masih ada dalam kalangan masyarakat terdesak untuk pulih.














