OBSES terhadap kecantikan rambut sejak remaja membuatkan wanita muda ini nekad menggali ilmu berkenaan mahkota wanita itu.
Menurut Ernie Mezlin Shahuri, ‘keghairahannya’ itu membuatkan dia pernah menanam cita-cita bergelar stylist atau jurugaya rambut ketika masih kecil.
Rentetan itu, dia yang mesra disapa sebagai Ernie mengambil keputusan mengikuti pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang dandanan dan kecantikan rambut.
Jelas anak muda berumur 29 tahun kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu, sejak itu juga dia mula bekerja secara separuh masa sebagai jurugaya rambut sambil bersekolah.
“Minat dan cinta saya terhadap rambut memang sudah ada sejak kecil lagi. Jujur saya katakan saya belajar tidaklah begitu pandai, tetapi lebih sukakan dan terarah kepada bidang kemahiran.
“Jadi dari situlah saya nekad untuk gilap kemahiran berbekalkan minat mendalam yang ada,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Jelasnya, selepas tamat SKM, berbekalkan sedikit pengalaman, dia memberanikan diri membuka bisnes salon rambut bersama beberapa rakan kongsi lain.
Ujarnya, seawal usia 21 tahun atau lebih tepatnya pada 2019, dia memulakan bisnes salon rambut dan ketika itu mengendalikan tiga cawangan di sekitar Lembah Klang.
Silih berganti, perniagaan tersebut terpaksa ditutup dek kehadiran wabak maut Covid-19 yang melanda dunia.
“Perniagaan salon kecantikan rambut yang kami usahakan terpaksa ditutup setelah dua tahun diasaskan.
“Lebih tepatnya pada 2021, bisnes tersebut terpaksa dihentikan operasi kerana tidak dapat bertahan dan kami reda atas ketentuan takdir tersebut,” katanya.
Meneruskan perkongsian, Ernie memberitahu rezekinya mendirikan rumah tangga bersama pasangan hati berlangsung sekitar 2022.
“Jadi selepas bernikah, saya memang tidak buat apa-apa dan hanya duduk di rumah.

“Rezeki kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki membuatkan saya ‘terperuk’ di rumah tanpa bekerja dan hanya menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah.
“Ketika itu jiwa saya memang memberontak untuk kembali bekerja kerana sudah biasa begitu sejak remaja.
“Kalau ikutkan suami memang tidak benarkan saya bekerja, tetapi dek kerana dia faham minat dan jiwa saya yang suka bekerja sejak remaja membuatkan dia bertukar fikiran,” ujarnya.
Jelas Ernie yang turut mempunyai sijil Train The Trainer (TTT) dalam bidang dandanan rambut, kecintaannya menimba ilmu dan sukakan bahan-bahan semula jadi serta organik membuatkannya mula mempelajari bidang berkaitan herba.
Katanya, bermula dari situ, dia belajar secara mendalam mengenai perubatan ayurveda yang begitu popular di India.
“Dari situ saya mula belajar mengenai ayurveda dan mengkhususkan mengenai formulasi herba.
“Cumanya saya membawakan kelainan sedikit dengan menyatukan elemen kemelayuan dalam rawatan itu yang lebih kena dengan cita rasa masyarakat di sini.
“Alhamdulillah, selepas jaya dengan kajian dan pembangunan (R&D) selama hampir setahun, maka tertubuhlah sebuah entiti perniagaan memfokuskan kepada rawatan rambut dan kulit kepala atas label Mimpi Natural Headspa & Salon Januari tahun ini,” katanya.
Jelasnya, sepanjang lapan bulan beroperasi di Setapak, permintaan sangat menggalakkan dan respons daripada pelanggan juga amat positif.
“Mimpi Natural Headspa & Salon bukan sahaja menawarkan pakej rawatan kulit kepala, kami juga memberikan perkhidmatan salon rambut berasaskan bahan organik.
“Antara pakej rawatan kulit kepala yang kami tawarkan seperti Mimpi Express, Mimpi Essential dan Mimpi Signature,” katanya yang pelanggannya turut mencakupi pelbagai negara seperti Somalia, Australia, Jerman dan India.
Ernie mengakui buat masa ini belum ada sebarang halangan luar jangka yang begitu membebankan bisnesnya.
Mengenai perancangan mendatang, Ernie memberitahu dia bakal menubuhkan sebuah akademi iaitu Mimpi Academy kelak. Akademi tersebut berfungsi sebagai pusat latihan dan kepakaran khas dalam bidang dandadan rambut dan herba.














