RANTAU PANJANG – Kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini yang terkenal sebagai syurga beli-belah dalam kalangan pelancong suatu ketika dahulu dilaporkan lengang sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan pendapatan peniaga di kawasan tersebut terjejas kerana mereka hanya menerima pelanggan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Peniaga pakaian, Sulaiman Mohamad, 48, berkata, kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia berbanding bath dipercayai mendorong kepada kekurangan pelanggan di kawasan tersebut.
“Kebanyakan barang jualan diambil dari Thailand. Jadi peniaga terpaksa menaikkan harga barangan masing-masing. Biasanya kalau ada pelanggan pun, mereka hanya singgah di sini untuk makan di kedai dan warung,” katanya ketika ditemui semalam.
Sulaiman mengakui harga barang seperti kelengkapan dapur, pakaian, buah-buahan dan makanan naik sedikit berbanding sebelum ini ekoran faktor ketidaktentuan mata wang tersebut.
Antara faktor lain yang dikesan adalah kerana rakyat Malaysia kini dilihat cenderung untuk berkunjung atau melancong ke selatan Thailand berbanding membeli-belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
“Keadaan itu juga menyebabkan kawasan ini lengang dan sunyi. Pelancong lebih berminat ke selatan Thailand kerana harga barangan di sana jauh lebih murah,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga pakaian, Norazimah Abdul Ghani, 35, memberitahu, dia turut menerima tempias apabila jualan tudung dan pakaian di premisnya merosot sehingga terpaksa menggunakan platform jualan secara dalam talian untuk menarik pembeli.
“Tidak ramai pelancong datang ke sini sejak awal tahun ini. Untuk menampung kos, saya beralih kepada bisnes online,” kata wanita itu.
Seorang peniaga kelengkapan sukan, Mat Yakob Deraman, 52, pula berkata, dia tetap membuka premis di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kerana sudah menjadi rutin hariannya sejak 20 tahun lalu.
“Saya sudah biasa membuka kedai meskipun tiada pelanggan kerana ini satu-satunya pekerjaan saya sejak sekian lama. Memang sedih memikirkan nasib peniaga di kawasan ini yang terjejas kerana ketiadaan pelanggan.
“Kami bernasib baik pada hari Sabtu dan cuti sekolah kawasan ini akan ‘hidup’ semula,” katanya.
















