fbpx
Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik jadi sandaran Malaysia raih pingat emas Sukan Olimpik di Paris.

Beregu negara selesa jadi underdog di Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHANGATAN temasya Sukan Olimpik Paris 2024 kian terasa dengan saingan akan membuka gelanggang secara rasmi sebaik sahaja obor temasya dinyalakan pada upacara pembukaan.

Justeru, ia turut menjadi petanda bermulanya cabaran Malaysia bagi memburu pingat emas Olimpik yang diidam-idamkan sejak temasya Olimpik 1956 di Melbourne, Australia.

Kali ini, perhatian lebih terarah ke gelanggang badminton apabila sasaran emas disandarkan kepada beregu lelaki No. 1 negara yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Biarpun dianggap sebagai prospek terbaik untuk memenangi pingat emas sebaris dengan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, namun Aaron-Wooi Yik akan turun dalam keadaan lebih tenang.

Ini kerana pasangan No. 5 dunia itu tidak diletakkan sebagai pilihan pada edisi kali ini, sekali gus dapat mengelakkan tekanan.

Perkara itu pernah dibuktikan ketika mereka menjadi juara dunia pada 2022 selain memenangi pingat gangsa meskipun melakukan penampilan pertama di pentas Olimpik edisi 2020 di Tokyo.

Penulis menganggap Aaron-Wooi Yik boleh beraksi di bawah ‘radar’ perhatian pada awal saingan dan memastikan mereka dapat melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Aaron juga pernah menjelaskan bahawa kehadiran mereka di Paris adalah sebagai pemain bukan pilihan kerana menganggap saingan kali ini lebih terbuka.

“Kali ini juga kami akan pergi ke Paris sebagai pemain bukan pilihan dan ia memberi sedikit kelebihan kepada kami.

“Mereka yang diletakkan sebagai pemain pilihan mungkin akan merasai lebih tekanan. Ada juga gandingan yang kali pertama beraksi, bagaimanapun kami lebih selesa dengan status bukan pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron-Wooi Yik boleh memberikan amaran awal kepada pencabar-pencabar lain sekiranya mampu membenam pasangan No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang yang turut berada dalam saingan Kumpulan A.

Bagi penulis, laluan ke pusingan kalah mati sudah pun terbuka memandangkan dua lagi pesaing dalam Kumpulan A merupakan beregu Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy dan Dong Adam-Nyl Yakura dari Kanada.

Justeru, satu-satunya aksi menarik boleh disaksikan dalam saingan kumpulan tersebut adalah perebutan juara kumpulan antara Aaron-Wooi Yik dan Wei Keng-Wang Chang.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut melaungkan keyakinan anak buahnya itu sudah bersedia sepenuhnya bagi menggalas cabaran di Olimpik Paris.

“Berdasarkan apa yang ditunjukkan pemain dalam latihan, saya boleh katakan bahawa semua pemain sudah bersedia. Bagi saya, Aaron dan Wooi Yik sudah berada pada 90 hingga 95 peratus prestasi terbaik,” ujarnya.

Walaupun beregu lelaki diletakkan sebagai prospek memenangi emas tetapi jangan pula kita lupa bahawa Malaysia turut diwakili perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Kesimpulannya, walaupun pemain Malaysia dilabelkan sebagai pemain bukan pilihan, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk kita mengibarkan bendera putih terlalu awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN